2010/09/12
SEPANG: Kelab Putera 1Malaysia bercadang kembali ke Pakistan dalam masa terdekat bagi membantu penduduknya bangun semula selepas kemusnahan besar-besaran akibat banjir terburuk dalam sejarah 80 tahun negara itu.Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang kembali ke tanah air dari Pakistan bersama delegasi 67 sukarelawan kelab berkenaan semalam, berkata Pakistan memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk dibangunkan semula.“Saya akan menyediakan laporan lengkap mengenai misi kemanusiaan ke Pakistan ini untuk diserahkan kepada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta yang menyumbang bagi menjayakan misi bantuan kami.
“Kebanyakan rakyat negara terbabit, khususnya golongan petani kehilangan semua hasil tanaman dan ternakan, malah kebanyakan kawasan yang kami tinjau masih ditenggelami air dengan sesetengahnya melebihi 20 meter tetapi kami masih berupaya memasuki kawasan yang jauh di pedalaman seperti di Juhi, kira-kira 20 jam perjalanan dari Karachi.
“Rakyat Pakistan yang kami temui amat terharu dan berterima kasih dengan bantuan dari Malaysia dan kita bertekad untuk terus membantu mereka,” katanya kepada pemberita sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 11.45 pagi semalam.
Misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Pakistan selama 10 hari diketuai Abdul Azeez, disertai 68 sukarelawan termasuk 40 doktor dalam pelbagai bidang perubatan serta wakil media.
Kebanyakan anggota delegasi itu menghabiskan separuh daripada bulan puasa dalam misi bantuan Palestin di Gaza, manakala separuh lagi, termasuk menyambut Aidilfitri di Pakistan.
Abdul Azeez mengakui terasa pilu berjauhan daripada keluarga pada Aidilfitri tetapi lebih rasa gembira kerana dapat menceriakan umat Islam di Pakistan merayakan Aidilfitri walaupun kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang.
Katanya, Kelab Putera 1Malaysia belum bercadang mengadakan misi bantuan buat masa ini tetapi mahu menyiapkan laporan mengenai misi ke Palestin dan Pakistan untuk diserahkan kepada kerajaan.
“Ini bukan saja mengenai pakej bantuan, sebaliknya turut merangkumi peluang perniagaan seperti projek perumahan dan infrastruktur besar-besaran di Pakistan.
“Kerajaan Pakistan amat berminat dengan konsep Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kita dan mahu menggunakan pendekatan sama membina sekurang-kurangnya sejuta rumah kos rendah untuk penduduk negara itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment