Monday, September 13, 2010

Sebelas tahun terlantar




KLUANG - Hanya berpunca daripada demam panas, Mohd Nazeli Mohd Jahuri, 13, terpaksa terlantar sehingga kini. 

Ibunya, Siti Tuminah Tumin, 36, berkata, anaknya terkena demam panas ketika dia berusia dua tahun. 

“Pada mulanya tiada apa-apa yang berlaku tetapi lama-kelamaan Mohd Nazeli tidak boleh bergerak dan bercakap. 

“Kini anak saya hanya terlantar sahaja tanpa boleh berbuat apa-apa dan hanya minum susu sahaja sebagai makanan. 

“Walau bagaimanapun, kesusahan saya sedikit sebanyak dapat diringankan apabila saya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM300 bagi anak yang terlantar dan tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ulu Benut di sini. 

Siti Tuminah berkata, bantuan yang diterima membolehkannya membeli susu dan lampin pakai buang untuk kegunaan Mohd Nazeli setiap hari. 

Katanya, sekiranya dia pergi bekerja, anaknya akan ditinggalkan sendirian. 

“Bagaimanapun saya akan pastikan Mohd Nazeli diberi makan dan minum susu terlebih dahulu. 

“Saya terpaksa buat begitu demi untuk mencari rezeki untuk anak-anak saya. Tetapi setakat hari ini anak saya dalam keadaan yang baik walaupun anak saya tidak seperti anak orang lain. 

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Kluang dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) daerah Kluang di atas kunjungan mereka ke rumah saya,” katanya. 

Selain itu, Siti Tuminah berkata, dengan sumbangan bantuan yang diberikan oleh mereka sedikit sebanyak dapat membantu beliau meringankan beban untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya. 

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat sekeliling di atas keprihatinan mereka terhadap beliau dan anaknya.

No comments:

Post a Comment