Monday, September 13, 2010

Ops Sikap Ke-22: Sebelas kematian dicatat hari raya pertama




2010/09/12

KUALA LUMPUR: Sebelas penunggang dan pembonceng motosikal antara 21 yang maut dalam kemalangan jalan raya pada hari kelapan Ops Sikap Ke-22, semalam menjadikan jumlah keseluruhan 139 kematian. 

Laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebut, 10 kematian direkodkan semalam membabitkan lima pemandu kereta dan lima penumpang.“Sebanyak 1,001 kemalangan dilaporkan berlaku semalam iaitu 408 di jalan Persekutuan, 255 kes di jalan bandaran, 184 kes di jalan negeri, 99 kes di lebuh raya dan 55 kes lagi di lain-lain jalan.“Manakala sebanyak 4,907 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya,” kata laman web itu. 

Ops Sikap Ke-22 yang dilancarkan 4 September lalu, turut mengesan empat pemandu bas ekspres berada di bawah pengaruh dadah dalam operasi bersepadu yang dikendalikan bersama agensi penguat kuasa lain di 32 terminal bas di seluruh negara. 

Di KOTA KINABALU, tiga daripada empat anggota sekeluarga maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Kilometer Empat, Jalan Lahad Datu-Sandakan di Lahad Datu, kira-kira 400 kilometer (km) pagi kelmarin. 

Mangsa terbunuh dikenali Sabaruddin Skka, 31, yang memandu kereta terbabit bersama dua anaknya, Norsyafiqa, 5, dan Mohd Sahirzan Sabaruddin, 3. Isteri mangsa, Saidah Misji, 26, pula cedera parah di kaki dalam kejadian jam 5.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampung Sabaruddin di Lahad Datu. 
Di KOTA TINGGI, seorang ibu berusia 29 tahun dan bayinya yang berumur enam bulan terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 48.5 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, kelmarin. 

Noorsarry Hassan maut di akibat parah di kepala manakala anaknya, Saed Adam Saed Hashim, meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi. 

Di KOTA BHARU, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata dua pemandu bas termasuk seorang pemandu bas persiaran yang dijadikan bas ekspres tambahan ditahan di Terminal Bas Larkin, Johor Bahru kerana positif dadah manakala masing-masing seorang pemandu bas ditahan di Terminal Bas Langgar, Kelantan dan Alor Setar. 

“Mereka akan diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut,” katanya. 

No comments:

Post a Comment