Monday, September 13, 2010

Penyingkiran Tuanku Ismail


KUALA LUMPUR 12 Sept. – Pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang disebut-sebut akan dilakukan esok boleh disifatkan sebagai cubaan rampasan kuasa.
Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra (gambar) berkata, ini kerana Perlembagaan negeri menyatakan pemerintah Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja iaitu jika sultan mangkat, menghilangkan diri dari Kelantan tanpa alasan kukuh lebih daripada setahun ataupun jika sultan turun dari takhta.
Katanya, justeru sebarang tindakan menyingkirkan Sultan di luar daripada cara yang ditetapkan Perlembagaan negeri adalah satu kudeta dan boleh dikategorikan sebagai penderhakaan di bawah Kanun Keseksaan.
“Esok bakal menjadi hari yang sedih kepada sistem pemerintahan beraja di Malaysia sekiranya konspirasi tersebut berjaya menyingkirkan baginda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia baru-baru ini yang melaporkan bahawa Tengku Muhammad Faris Petra bakal dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan esok bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu.
Menurut laporan tersebut istiadat pemasyhuran itu akan diadakan di Balairung Seri Istana Balai Besar di Kota Bharu bermula pada pukul 11.30 pagi.
Tambah Tengku Merjan, pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri mesti campur tangan kerana jika konspirasi tersebut berjaya dilaksanakan akan menyumbangkan kesan yang negatif terhadap negeri yang mengamalkan sistem beraja.
“Jika terjadi sedemikian tiada pemerintah yang mahu mewujudkan jawatan Pemangku Raja lagi kerana jawatan tersebut seolah-olah mempunyai kuasa yang sama dengan Sultan yang mana Pemangku Raja bila-bila masa saja boleh mengambil alih jawatan tersebut,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment