Monday, September 13, 2010

Tidak sangka Wati dibunuh



BATU PAHAT – Kehilangan jutawan terkenal Datuk Sosilawati Lawiya sememangnya tidak disangka dan pembunuhannya merupakan sesuatu perkara yang menjadi kejutan kepada penduduk setempat, terutamanya di kawasan Seri Medan di sini 

Penduduk setempat mengenali Allahyarham sebagai orang yang baik hati dan pandai melayan tetamu yang hadir, terutamanya kanak-kanak, malah, beliau tidak pernah membeza-bezakan tetamu. 

Seorang kenalan yang juga bekas pekerjanya, Muhamad Zaini Kariman, 30, berkata, dia pernah bekerja dengan beliau dan mengakui yang majikannya merupakan seorang yang baik. 

Menurutnya, beliau sering kali bertanya masalah yang dihadapinya dan akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan serta menyatakan bekas majikannya tidak lokek kepada semua pekerjanya. 

“Saya tidak menyangka yang bekas majikan saya ini diperlakukan sedemikian kerana beliau merupakan seorang yang baik dan saya berharap pelakunya akan dikenakan tindakan. 

“Negara ini mempunyai undang-undang, sesiapa yang melakukan kesalahan pasti akan menerima hukuman dan sudah pasti pesalah berkenaan tidak akan terlepas begitu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sementara itu, Suraya Shahrum, 26, berkata dia mengenali Sosilawati sebagai seorang yang berjaya dan juga merupakan seorang usahawan yang tidak pernah berputus asa. 

Katanya, walaupun bukan tinggal sekampung tetapi dia mengetahui peribadi beliau yang merupakan seorang yang baik hati dan tidak pernah menyakiti hati penduduk kampung di sekitar rumah ibunya. 

“Beliau juga suka bersedekah kepada anak yatim di kawasan sekitar sini serta membantu beberapa badan yang menguruskan kebajikan penduduk di sekitar Batu Pahat. 

“Kehilangannya sememangnya akan dirasai kerana beliau banyak menabur jasa dan bakti, terutamanya di kampung asalnya di Kampung Seri Menanti, Seri Medan,” katanya. 

Manakala seorang jiran yang dikenali sebagai Suzi, 60, berkata, Wati seorang yang baik dan disenangi oleh semua orang dengan sikapnya yang mudah mesra. 

Suzi berkata, walaupun beliau tidak rapat sangat dengan Wati tetapi Wati seorang yang murah hati dan suka mengadakan jamuan untuk orang kampung apabila ada marhaban di kampung sewaktu Hari Raya. 

“Saya tidak menyangka kejadian tersebut terjadi kepada Wati dan saya masih menganggap bahawa Wati masih hidup,” katanya. 



Keadaan rumah ibu Wati lengang, semua ke Kuala Lumpur 



Keadaan sunyi menyelubungi pekarangan rumah ibu Sosilawati kerana semua ahli keluarga pergi ke Kuala Lumpur apabila mendapat berita penemuan empat mayat yang dibunuh serta dibakar di ladang pertanian bersepadu di Jalan Gadong, Tanjong Sepat, semalam. 

Apabila Sinar Harian sampai ke rumah keluarga Wati, kelihatan rumah keluarganya lengang seperti tiada apa-apa yang berlaku di perkarangan rumah keluarga tersebut dan hanya adik Wati sahaja yang ada di rumah untuk menjaga rumah berkenaan. 

Menurut adik Wati, semua ahli keluarga yang lain sudah pergi ke Kuala Lumpur kira-kira jam 12 tengah malam semalam apabila mendapat perkhabaran mengenai Wati. 

Walau bagaimanapun, apabila diminta untuk ditemu ramah adik Wati enggan mengulas lebih lanjut kerana semuanya beliau serahkan kepada polis untuk mendapatkan maklumat lanjut. 



Solat jenazah di Kuala Lumpur 



Jenazah jutawan terkenal, Sosilawati, disempurnakan di Kuala Lumpur berikutan keadaannya yang sudah dibakar dan berkemungkinan bercampur dengan tiga lagi yang lain. 

Abangnya, Maskor Lawiya, 55, berkata, jenazah adiknya yang telah disahkan oleh polis disempurnakan di Kuala Lumpur kerana keadaannya yang tidak mengizinkan. 

Katanya, dia dan keluarga setakat ini bersepakat untuk tidak membawa balik ke kampung halaman di Seri Medan, Batu Pahat, kerana keadaannya yang sudah menjadi abu. 

“Kami sekeluarga akan menyempurnakannya di sini memandangkan keadaan yang tidak mengizinkan dan agak sukar jika dibawa balik ke kampung. 

“Lagipun, keadaan adik saya sudah tidak kelihatan jasadnya dan ini menyukarkan urusan jika dibawa pulang,” katanya. 

Beliau harap mereka yang bertanggungjawab atas kematian adiknya itu akan dimenghadapi hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka. 



Keluarga Nash ucap takziah 

Sementara itu, di MUAR, seluruh keluarga bekas suami Sosilawati, Nasharuddin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash mengucapkan takziah di atas kematian beliau. 

Nash, penyanyi kumpulan Lefthanded pernah mendirikan rumah tangga dengan jutawan kosmetik itu. 

Kakak sulung Nash, Hamsiah Alias, 66, berkata, dia berasa terkejut apabila mendengar berita kematian bekas adik iparnya menerusi televisyen pagi semalam. 

Menurutnya, biarpun tidak begitu rapat dengan arwah tetapi berita itu sedikit sebanyak memberi kejutan kepada mereka sekeluarga. 

“Kami berharap keluarga arwah di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, Batu Pahat sentiasa tabah mendengar berita ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment