Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2010/09/12
KUALA LUMPUR: Ketika keluarga lain memilih pakaian warna sedondon, Suria, 25, (bukan nama sebenar) berdoa suami dan keluarga tidak memakai pakaian merah ketika menziarahinya pada pagi Aidilfitri kerana itulah warna ‘baju rayanya’ di Penjara Wanita Kajang, Selangor.Bagi ibu kepada lima anak itu, cukuplah dia seorang memakai ‘uniform’ raya merah bertemankan bayi berusia tiga bulan yang dilahirkan ketika dalam tahanan. Rasa sedih, rindu, kecewa menguasai diri setiap kali berbuka puasa dan bertambah teruk apabila mendengar takbir raya.Inilah kali pertama dia beraya tanpa mencium tangan suami dan ibu, cuma anak bongsu menjadi pengubat rindu kepada empat lagi anaknya yang tidak mengerti kenapa ibu mereka tidak beraya di rumah.
Tempoh tahanan enam tahun bermakna Suria akan terlepas sekurang-kurangnya lima kali peluang untuk menyambut Syawal bersama keluarga.
“Apabila masuk Ramadan, saya rasa nak gila, bayangkan apabila dengar takbir raya. Semua kenangan datang serentak, indahnya melayan anak membuat persiapan pakaian raya mereka.
Walaupun penat dan sibuk membantu ibu membuat kuih dan persiapan raya lain, itulah saat paling manis serta indah dalam hidup saya.
“Sekarang saya sedar betapa nikmatnya hidup bebas. Di sini semuanya terbatas, ikut jadual dan prosedur, bahkan ketika bersalin pun semuanya kena buat sendiri.
Tidak wujud istilah berpantang, malah, hari pertama bersalin saya sudah basuh pakaian sendiri dan perlu menguruskan diri,” katanya ketika ditemui Berita Minggu, baru-baru ini.
Setiap kali menjelang Ramadan, dialah paling sibuk menentukan warna pakaian raya sekeluarga. Tahun lalu, mereka sepakat memilih hitam tetapi ketika ditanya pakaian keluarganya pada tahun ini, Suria menundukkan muka menahan sebak.
“Cukuplah, jangan tanya saya apa mereka pakai tahun ini. Tiada apa yang boleh saya buat. Apabila bebas, saya akan bayar semua hutang masa yang terbuang sepanjang saya dipenjarakan dengan anak,” katanya yang dijatuhkan hukuman kerana terbabit kes pengedaran dadah.
Ketika ini, empat anak lelakinya berusia enam serta dua anak kembar berusia empat tahun dan anak keempat berusia dua tahun beraya bersama suami dan ibunya, di Muar, Johor.
Seorang lagi banduan yang pertama kali beraya di Penjara, Natrah, 30, (nama samaran) juga berkongsi pengalaman sama mengenai keperitan menyambut Aidilfitri di sebalik tembok batu.
“Anak-anak dah belajar berpuasa, sepatutnya saya bersama mereka tetapi saya berada di sini. Siapa yang tak sedih kalau anak selalu tanya bila ibu nak pulang sebab anak sulung saya dah bersekolah, dah boleh fikir.
“Apa yang saya boleh katakan, ibu belajar menjahit di sini, kalau dah pandai menjahit barulah ibu pulang. Air mata dah berhenti mengalir bila nak lelapkan mata. Macam-macam perkara terbayang di kepala, teringat anak dan ibu, apa mereka buat, cukupkah persiapan raya... boleh jadi gila kalau layan perasaan,” katanya.
Ibu tunggal ini cuma dipenjarakan selama 16 bulan atas kesalahan dadah tetapi baginya tempoh itu terlalu lama, seumpama 18 tahun. Apa yang boleh dilakukannya cuma berdoa dan menambah ilmu agama kerana sebelum ini beliau langsung tidak mengenal tikar sejadah dan berpuasa.
Beliau yang terbabit dalam pengurusan program hiburan mengakui tekanan hidup selepas berpisah dengan suami serta kegagalan mengawal diri membuatkannya memilih jalan salah dengan berseronok, menghadiri parti liar bersama rakan sebelum ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di ibu negara.
“Saya beruntung bekas suami ambil berat urusan jaga tiga anak kami. Sudah tentu tak sama kalau saya ada bersama anak-anak,” katanya.
No comments:
Post a Comment