KUALA LUMPUR: Bagi Natrah Mat Jaan, kesempatan merakam gambar Datuk Sosilawati Lawiya bersama anak-anak sehari sebelum kehilangannya pada 30 Ogos lalu akan menjadi kenangan menyedihkan sepanjang hayat.
Dia dan rakannya, Jett Halim Tan yang menjadi jurugambar peribadi ahli perniagaan itu sejak lima tahun lalu terkilan kerana gambar yang dirakamkan itu tidak sempat diberikan kepada wanita berkenaan.
“Sehari sebelum dia hilang, saya sempat merakamkan gambar potret keluarganya seperti tahun sebelum ini. Saya sempat ke rumahnya dan seperti biasa, arwah seorang yang peramah dan merendah diri. Kami berbual seperti biasa dan gambar itu menjadi seperti mana yang diinginkannya.
“Cuma, perwatakannya agak berlainan kali ini sebab agak lembut, berbanding sebelum ini, dia memang seorang yang gila-gila,” katanya.
Menurut Natrah yang sememangnya akrab dengan Sosilawati, berita kematian jutawan itu bukan saja mengejutkan sebaliknya sesuatu yang tidak mampu diterima imaginasi.
“Saya memang terkejut dan teringat semula detik sesi fotografi itu. Sesuatu yang ketara, Kak Wati sangat cantik serta berseri-seri, dan mudah memberikan gambar menarik berbanding sebelum ini saya agak sukar mencari sudut baik bagi merakamkan wajahnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment