Monday, September 13, 2010
Pembunuh disifat kejam, hilang akal
SHAH ALAM – Perunding psikologi keluarga, Suzana Ghazali, menyifatkan terlalu umum untuk melabelkan pembunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain sebagai sakit mental, memandangkan pembunuhan yang dilakukan sudah dirancang.
Menurutnya, berdasarkan perlakuan terhadap mangsa, pembunuh boleh dikategorikan sebagai “orang hilang akal yang waras tetapi tidak semestinya sakit mental”.
Suzana menggariskan empat ciri-ciri pembunuh yang bertindak sedemikian di mana pembunuh seperti ini sudah biasa dengan situasi kejam dan zalim, tiada iman, tiada peri kemanusiaan serta terlalu mementingkan diri sendiri.
“Orang ini sudah biasa dengan situasi atau keadaan bersifat zalim dan kejam. Berkemungkinan pernah menjadi mangsa pukul atau dera sewaktu kecil, menyebabkan hatinya sering menyimpan rasa dendam dan marah. Nafsu amarah dan dendam ini boleh dilampiaskan kepada sesiapa saja kerana dalam dirinya tidak pernah wujud erti belas kasihan dan kasih sayang.
“Bila tiada iman, tiada rasa takut kepada Tuhan yang akan mengadili segala perbuatan manusia di akhirat. Orang ini juga mungkin tiada pegangan agama, malah tidak mempercayai wujudnya agama serta Tuhan,” katanya.
Beliau berkata, pelaku atau pembunuh terbabit juga tiada belas kasihan kepada insan lain kerana mempunyai hati yang terlalu busuk dan kejam, selain mampu bertindak di luar batasan kemanusiaan. tanpa rasa bersalah dan simpati.
Suzana berkata alasan utama mangsa dibunuh serentak ialah bagi menghilangkan bukti, Ini kerana jika ada yang dibiarkan hidup, risiko untuk pembunuh dikenal pasti dengan lebih mudah adalah tinggi.
“Menghapuskan kesemuanya bererti tiada saksi dan tiada bukti mudah untuk mengheret pembunuh ke muka pengadilan. Pembunuh juga tidak mahu diri tertangkap. Maka membakar adalah cara terbaik menghapuskan bukti.
“Malah disebabkan rasa sakit hati, marah dan dendam yang tinggi, mangsa diperlakukan dengan kejam hingga mewujudkan rasa puas hati setelah amarah dan dendam berjaya dilangsaikan,” katanya.
Katanya, tidak mustahil sebelum ini pembunuh pernah berurusan dengan mangsa. Ini bererti pertemuan sebelum mangsa dibunuh bukan kali pertama.
Suzana berkata, lebih menguatkan hipotesis tersebut apabila jutawan terbabit membawa sejumlah besar wang tunai.
Sebab itu beliau yakin mangsa mengenali pembunuh, walaupun mungkin tidak rapat.
“Jika belum pernah kenal, sudah pasti mangsa akan dikawal sebaiknya kerana membawa wang yang begitu banyak,” katanya.
Labels:
bunuh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment