Oleh Fazurawati Che Lah dan Ifwan Tun Tuah
bminggu@bharian.com.my
2010/09/12
PEMANGKU Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra (dua dari kiri) bertemu Mohd Yusoff (dua dari kanan) ketika berangkat menziarahi keluarga itu di Kampung Pulau Raja, Palekbang, kelmarin.
Suami mangsa bunuh terkenang hidangan wajib hari lebaran
TUMPAT: “Setiap tahun, sate dan nasi himpit menjadi menu wajib bagi keluarga kami kerana Allahyarham isteri amat menggemarinya. Namun tahun ini, semua itu tinggal kenangan kepada kami semua,” kata suami Allahyarham Norliza Ishak, 35, yang mati dibunuh bersama anaknya, Amirul Ayman Mohd Yusoff, 10, di Port Dickson, Negeri Sembilan, Ramadan lalu.Mohd Yusoff Awang Besar, 35, berkata, selalunya setiap kali tiba hari lebaran, beliau akan menyambutnya bersama isteri serta anaknya di Kaherah, Mesir dan mereka akan berada di sana untuk beberapa hari, namun takdir menentukan isteri dan anaknya pergi dulu menghadap Ilahi."Memandangkan saya tidak dapat meninggalkan perniagaan di Kaherah, kebiasaannya isteri serta anak akan dibawa ke sana untuk menyambut Syawal bersama saya dan ini dilakukan setiap kali menjelang lebaran," katanya ketika ditemui di kediaman arwah isterinya, di Kampung Pulau Kerbau, Palekbang, di sini, kelmarin.
"Kebiasaannya, setiap kali menyambut hari lebaran, arwah isteri saya yang sibuk menyediakan juadah raya untuk keluarga. Pada malam raya, arwah isteri serta adiknya akan sibuk menyediakan pelbagai juadah kerana arwah cukup pandai memasak pelbagai jenis masakan," katanya.
Dalam kejadian 3 September lalu, seorang ustazah dan anak lelakinya berusia 10 tahun ditemui mati dengan kedua-dua tangan serta kaki diikat manakala muka dibalut dengan kain sarung di kediaman mereka di Apartmen Seri Bandar, Taman Bandar, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Norliza dan Amirul Ayman dipercayai dibunuh malam Rabu, tetapi kejadian itu hanya disedari kira-kira jam 10 pagi Khamis apabila rakan mangsa datang ke rumahnya selepas kedua-duanya tidak hadir ke sekolah.
Sementara itu ayah mangsa, Ishak Mohd Isa, 62, berkata beliau serta keluarga masih lagi bersedih dengan kehilangan anak sulungnya itu dan menganggap kejadian itu semua ketentuan Allah.
Katanya, arwah anaknya begitu rapat dengannya dan terasa amat kehilangan terutama cucunya itu yang sentiasa menyerikan suasana setiap kali ketibaan hari lebaran.
“Arwah begitu rapat dengan pakcik, malah arwah yang selalu sibuk menyediakan pakaian untuk adik-adiknya serta menjaga keperluan kami semua. Sejak arwah bekerja tiga tahun lalu di Port Dickson, dia yang banyak membantu menguruskan adik-adik yang masih bersekolah,” katanya.
Di SEREMBAN, tempoh reman penganggur yang ditahan berhubung siasatan pembunuhan dua beranak itu dilanjutkan sehingga Khamis depan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, berkata Mahkamah Majistret Seremban membenarkan melanjutkan reman suspek berusia 34 tahun itu yang berakhir kelmarin, bagi melengkapkan siasatan.
“Kita memerlukan sedikit lagi masa untuk menyiasat lanjut kes ini dan menyelesaikannya," katanya ketika dihubungi semalam.
Difahamkan, suspek yang sudah berkahwin itu ditahan di kediamannya tidak jauh dari kawasan perumahan mangsa di bandar peranginan berkenaan, Sabtu lalu. Laporan awal bedah siasat mendapati punca kematian mereka adalah kerana sesak nafas berikutan mulut dan kepala kedua-dua mangsa ditutup.
No comments:
Post a Comment