KUALA LUMPUR: Sudah menjadi pemandangan biasa di ibu kota apabila setiap kali cuti umum, kawasan rekreasi dan pusat beli-belah utama dibanjiri warga asing hingga mencetuskan kebimbangan penduduk tempatan.
Cuti umum sempena Aidilfitri juga menyaksikan keadaan sama apabila Jalan Masjid India, KLCC, Pasar Seni dan pusat beli-belah utama sekitar ibu kota dipenuhi warga asing kebanyakannya dari Pakistan, Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
Tinjauan Metro Ahad mendapati, kebanyakan warga asing ini mengambil kesempatan sempena cuti berkenaan dengan membeli-belah selain berjumpa rakan mereka yang berada di negara ini untuk melepaskan kerinduan.
Namun, situasi kebanjiran warga asing ini bagaimanapun masih terkawal apabila PDRM turut meletakkan beberapa balai polis bergerak di kawasan tumpuan berkenaan bagi mengawal keselamatan sekali gus mengurangkan rasa panik di kalangan rakyat tempatan di ibu kota yang tidak pulang ke kampung sempena hari raya.
Rakyat Myanmar, Tabanar Sayap, 24, pengajar di sebuah pusat tahfiz di Selangor berkata, sudah lumrah bagi kebanyakan rakyat asing untuk menyambut hari raya di tengah ibu kota sama ada membeli-belah atau berjumpa rakan senegara yang lain.
“Persahabatan sangat penting bagi kami. Kami berkumpul kerana mahu menghabiskan masa bersama rakan, terutama dari negara sama untuk berkongsi cerita dan sebagainya.
“Tidak pernah pula terlintas di hati kami untuk membuat perkara tidak baik,” katanya.
Menurutnya, sejak menjejakkan kaki di negara ini enam tahun lalu, tidak pernah sekali pun dia berkesempatan untuk pulang menyambut hari raya bersama keluarganya.
No comments:
Post a Comment