Saturday, July 9, 2011

11 suspek militan ditahan

JAKARTA 8 Julai - Indonesia menahan 11 suspek yang disyaki merancang untuk melancarkan serangan terhadap polis dan tokoh Islam liberal, lapor jurucakap polis, hari ini.

"Suspek-suspek tersebut dipercayai merancang untuk menyerang polis dan pejabat Jaringan Islam Liberal (JIL)," kata Antan Bachrul Alam.

Katanya, kesemua suspek ditahan pada awal minggu ini di Jakarta dan beberapa lokasi lain di kepulauan Jawa dalam operasi selama empat hari.

Dalam operasi tersebut, polis turut merampas berpuluh-puluh senjata api dan lebih 270 butir peluru.

Selain itu, mereka juga disyaki terlibat dalam penyeludupan senjata ke Indonesia dari Filipina melalui Malaysia.

Pada bulan lepas, polis menahan 16 suspek yang merancang untuk meracuni anggota polis menggunakan bahan kimia sianida di kantin balai polis.

Dalam pada itu, berpuluh-puluh suspek yang ditahan berhubung beberapa siri insiden termasuk bom buku yang dihantar kepada tokoh Islam sederhana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan baru.

Kumpulan tersebut turut dikaitkan dengan serangan bom di sebuah surau dalam bangunan pejabat polis di Cirebon, Barat Jawa.

Sementara itu, Indonesia sering digemparkan dengan beberapa siri serangan pengganas dari rangkaian Jemaah Islamiah (JI), termasuk serangan bom di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment