Saturday, July 9, 2011

Keberanian guru bantu polis bertindak

MUAR: Keberanian seorang guru mempertaruhkan keselamatan dirinya dengan melontar nota melalui tingkap, memberi maklumat berharga kepada polis berhubung keadaan tebusan di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Serikids, Taman Sungai Abong Cemerlang, kelmarin.

Tindakan guru tersebut membolehkan pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) merancang serbuan tanpa menyebabkan kecederaan semua tebusan.

Difahamkan, menyedari ada guru yang berani memberikan maklumat, anggota polis memanjat dan bergayut pada tingkap premis berkenaan untuk berkomunikasi dengan beliau sebelum memberikan arahan supaya mengunci pintu bilik dan menyendal pintu masuk, lapor Harian Metro, semalam.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalalluddin Abdul Rahman, berkata tindakan berani guru berkenaan memberi peluang kepada pihaknya mengatur operasi menyelamat selepas mengetahui lokasi sebenar mangsa dikurung.

'Dalam nota itu guru terbabit memaklumkan dia bersama tiga lagi guru dan 30 murid dikurung dalam bilik di tingkat atas dan semua mereka selamat.

'Kami terus berkomunikasi dengan guru berkenaan hinggalah mereka diselamatkan selepas sepasukan pegawai dan anggota UTK menggempur premis berkenaan,' katanya.

Hasil gerakan itu, suspek ditembak di kepala dan dibawa keluar daripada premis berkenaan pada 3.45 petang, dengan kepalanya berbungkus dipercayai akibat cedera selepas ditembak.

Suspek ditembak pasukan komando khas polis itu apabila dia cuba menyembur mereka dengan alat pemadam api.

Dia meninggal dunia di hospital akibat kecederaan yang dialaminya pada 9.15 malam kelmarin.

Kesemua tebusannya bagaimanapun selamat dan dibawa keluar dari pusat jagaan berkenaan mulai 4.02 minit petang kelmarin, diikuti empat guru pada 5 petang, sebelum semua tebusan itu dikejarkan ke hospital.

Namun, sebelum ditembak, lelaki yang menahan 30 murid taman jagaan kanak-kanak (tajaka) itu, yang dipercayai kurang siuman, telah meminta beberapa guru tajaka supaya membunuh dia, dan mengugut akan membunuh semua tebusannya itu jika dia tidak dibunuh.

'Bunuh aku, kalau tak aku bunuh semua budak yang ada,' ugut lelaki, dipercayai seorang pesakit mental, yang menceroboh masuk ke tajaka itu sejak sembilan pagi kelmarin.

Dia bersenjatakan parang, tukul besi, pistol pengokot (stapler) dan alat pemadam api.

Ugutan itu disampaikan kepada Penolong Pengetua tajaka tersebut, Cik Khoo Chon Den, 50 tahun, sambil mengacukan tukul besi itu kepadanya, lapor Harian Metro.

Cik Khoo, yang ketakutan dan serba salah, bagaimanapun, enggan berbuat demikian selepas memikirkan bahawa lelaki berkenaan bersikap baik terhadap semua tebusannya, termasuk mendukung seorang kanak-kanak yang mahu ke bilik air.

'Saya bimbangkan keselamatan semua kanak-kanak, namun, pada masa yang sama, tidak mahu menjadi pembunuh.

'Selain itu, saya beranggapan penyerang terbabit masih memiliki sifat kemanusiaan, malah selama mereka ditawan, lelaki itu tidak mencederakan kanak-kanak di sini,' katanya.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment