KASMIR Luntuk dan K Manickam (kanan).
SHAH ALAM: Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan gambar yang dirakam jurugambar polis menggunakan kamera digital dalam siasatan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, tidak diterima sebagai barang kes pihak pendakwaan dan hanya akan ditandakan sebagai ID.
Dalam prosiding semalam, Akhtar memerintahkan semua gambar dirakamkan jurugambar polis, Lans Koperal Kashmir Luntuk, 25, dan Koperal K Manickam, 53, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hanya ditandakan sebagai ID.Akhtar berkata, pihak pendakwaan perlu mengemukakan kad memori yang pertama sekali menyimpan semua gambar berkenaan sebaik gambar dirakam sebagai keterangan primer (primary evidence) dan bukannya hanya mengemukakan cakera padat (CD) salinan kedua gambar berkenaan.
“Ini keputusan mahkamah, gambar akan ditandakan sebagai ID. Kad memori atau kad flash adalah keterangan primer manakala CD pula keterangan kedua.
Bagaimanapun saya izinkan jika pihak pendakwaan ingin berhujah mengenai perkara ini (memasukkan gambar sebagai barang kes pendakwaan) minggu depan,” katanya.
Akhtar berkata, dua isu yang perlu diputuskan adakah sama ada CD itu boleh ditandakan sebagai barang kes disebabkan bantahan daripada pihak peguam tertuduh berhubung isu keterangan primer dan kedua, adakah cetakan gambar melalui CD memerlukan sijil.
“Setakat ini, mahkamah izinkan pihak pendakwaan dan pembelaan menyoal mengenai semua gambar itu namun jika keputusan akhir mendapati ia tidak diterima sebagai barang kes, maka semua keterangan mengenainya akan dipadam atau dibuang daripada rekod mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Kasmir dan Manikam mengakui gambar yang disimpan dalam kad memori terbabit sudah dipadamkan sebaik selesai memindahkannya ke dalam CD, kerana kamera digital perlu digunakan untuk merakam gambar kes lain pula.
Kasmir, saksi kelima yang dipanggil semula menyambung keterangannya, berkata beliau mengambil 145 keping gambar serpihan tulang di bilik bedah siasat Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 17 September 2010.
Kasmir berkata, beliau diarahkan pegawai penyiasat kes itu, Asisten Superintendan (ASP) Ishak Yaakob untuk ke situ dan sebaik tiba, Pakar Perunding Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Nurliza Abdullah sedang menyusun bahan bukti dan beliau mengambil gambar mengikut arahannya.
“Semua gambar dirakam menggunakan kamera digital dan disimpan dalam CD. Saya mengambil masa seharian untuk merakam gambar dari 8.30 pagi hingga 8 malam dan mencetak semua gambar itu keesokannya (18 September 2010) di unit foto IPK Kuala Lumpur sebelum menyerahkannya kepada ASP Ishak,” katanya.
Sementara itu, Manickam, yang juga saksi ke-17, dalam keterangannya berkata diarahkan ASP Ishak untuk mengambil empat gambar sebuah telefon bimbit pada 14 September 2010.
Katanya, beliau juga diarahkan untuk mengambil 165 gambar cebisan tulang di bilik bedah siasat HKL pada 18 September 2010.
Perbicaraan bersambung 11 Julai ini.
No comments:
Post a Comment