Saturday, July 9, 2011

Pelajar koma disengat tebuan mati

Bapa murid Tahun Dua kesal pihak sekolah lewat hantar ke hospital

KUANTAN: Seorang pelajar Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, dekat sini meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam selepas koma sejak lima hari lalu gara-gara disengat lebih 10 tebuan ketika menjalani latihan sukan di sekolahnya, pada 20 Jun lalu.

Mangsa, Mohamad Al-Amin Ibrahim, 8, dari Kampung Darat Sungai Ular disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3 petang selepas paru-parunya gagal berfungsi dipercayai akibat jangkitan kuman.
Bapa angkat mangsa, Abdul Aziz Mamat, 49, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5 petang 20 Jun lalu, anaknya dikatakan disengat tebuan ketika berada di pondok rehat berhampiran bangunan prasekolah di dalam kawasan sekolahnya bagi menghadiri latihan sukan sekolah.
Beliau berkata anaknya disengat di kepala, leher, rusuk lengan dan bahagian belakang badan sebelum kejadian terbabit disedari guru dan mangsa dibawa pulang ke rumah sebelum dibawa untuk rawatan sementara di sebuah klinik swasta.

Katanya, melihat keadaan semakin kritikal, anaknya dihantar ke HTAA untuk rawatan lanjut. Mohamad Al-Amin terlantar hampir dua minggu di HTAA sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak lima hari lalu selepas paru-parunya gagal berfungsi disebabkan jangkitan kuman.

“Namun Tuhan lebih menyayanginya apabila anak bongsu daripada dua beradik yang saya jadikan anak angkat dan dijaga sejak berusia tiga hari itu menghem-
buskan nafas terakhir di depan mata saya. Saya dan keluarga reda dengan ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat HTAA, petang semalam.
Abdul Aziz berkata, beliau sememangnya terkilan dengan kelewatan pihak sekolah menghantar anaknya mendapatkan rawatan segera di hospital selepas kejadian terbabit.

“Mereka membawa anak saya pulang dulu ke rumah bagi memaklumkan kejadian kepada isteri, Rosilawati Abdul Rahman, 39, sebelum dihantar ke klinik. Mungkin sesuatu boleh dilakukan sekiranya anak saya terus dibawa ke hospital selain pihak sekolah sepatutnya lebih peka dengan menghapuskan sarang tebuan di sekolah terbabit kerana dibimbangi memudaratkan pelajar lain.

“Saya tidak menolak kemungkinan untuk menyaman pihak sekolah atas kecuaian yang berlaku,” katanya dan memaklumkan jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Darat Sungai Ular.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mazlan Mohamad, ketika ditemui selepas melawat jenazah mangsa di HTAA, semalam turut dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

No comments:

Post a Comment