Saturday, July 9, 2011

Terima panggilan temui kereta Sosilawati

LIPUTAN meluas media mengenai kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya membawa kepada penemuan kereta mewah BMW milik jutawan kosmetik itu yang ditinggalkan terbiar di tempat letak kereta Pangsapuri Angsana di USJ1, Subang Jaya.

Kenderaan berkenaan ditemui polis yang sebelum itu menerima panggilan seorang penduduk yang menyedari ia kereta yang dicari apabila menonton laporan berita mengenainya di televisyen.
Saksi Pendakwaan ke-18, Penyelia Pusat Unit Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Sarjan Jaswant Singh, 52, memberitahu mahkamah beliau menerima panggilan daripada seorang bernama Awang mengenai BMW bernombor WTL 11 itu, kira-kira jam 8.45 malam pada 6 September lalu ketika sedang bertugas.
Beliau kemudian meminta anggota kereta peronda ke lokasi dimaksudkan sebelum mendapat pengesahan maklumat yang diterima dan terus memaklumkan ketua polis daerah berkenaan, timbalannya serta ketua bahagian selain Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Jaswant berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin pada perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir, di sini semalam.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Amer Hamzah Arshad, Jaswant berkata, beliau tidak bertanya nama penuh Awang atau mengambil kad nombor kad pengenalan lelaki itu yang terus memaklumkan kereta berkenaan sudah lama diletakkan di situ dan perasan mengenainya selepas butiran kenderaan itu disiarkan televisyen.

Sementara itu, Saksi Pendakwaan ke-19, Pembantu Kereta Peronda, Lans Koperal Roslee Sharon, 30, berkata beliau menemui kereta mewah jenis BMW AAJ5 milik peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, pada 6 September lalu apabila memeriksa kawasan berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.
Katanya, kira-kira jam 10 malam, beliau dan pemandu, Lans Koperal Faizal Ismail menerima arahan daripada Bilik Gerakan IPD Subang Jaya untuk ke satu lokasi berhampiran hotel terbabit berikutan ada laporan mengatakan kereta berkenaan terbiar di situ sebelum berjaya menemuinya di lot letak kereta 125, Jalan SS12/1B, Subang Jaya.

"Kereta itu parking tak cantik, bumper terlebih ke depan. Selepas jumpa, saya hubungi IPD Subang Jaya dan menerima arahan jangan sentuh apa-apa, tunggu hingga forensik sampai," katanya yang bersama rakan sekerja meninggalkan lokasi itu kira-kira jam 2.30 pagi selepas pasukan forensik tiba dan mengambil kereta berkenaan.

Terdahulu, beliau memberitahu mahkamah waktu tugasannya hari berkenaan antara jam 4 petang hingga jam 12 tengah malam selain menafikan ada menyentuh kereta terbabit untuk memastikannya berkunci. Perbicaraan Berita Harian Online | Terima panggilan temui kereta Sosilawati

No comments:

Post a Comment