Saturday, July 9, 2011

Ahmad Sarbaini tak minta wang

WAN Zainalabidin ketika menunggu gilirannya untuk memberi keterangan lanjut di Mahkamah Koroner, semalam.
WAN Zainalabidin ketika menunggu gilirannya untuk memberi keterangan lanjut di Mahkamah Koroner, semalam.
Pengakuan pegawai kastam celaru: Saksi

KUALA LUMPUR: Ejen penghantaran syarikat Schenker Logistik Sdn Bhd (Schenker) memberitahu Mahkamah Koroner, di sini, semalam, beliau tidak pernah memberi wang ehsan kepada Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Ahmad Sarbaini Mohamed, malah mangsa juga tidak pernah meminta wang daripadanya sejak mengenali Allahyarham lebih lima tahun lalu.

Eksekutif Kanan Operasi Eksport Logistik Schenker, Wan Zainalabidin Wan Zaki, 41, berkata pengakuan Allahyarham kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika memberi keterangan pada 4 April lalu berikutan mangsa berada dalam keadaan buntu dan hanya mengingati nama Zainal dan syarikat Schenker.
Saksi ke-11 prosiding inkues itu berkata, kali terakhir beliau bertemu Allahyarham pada 5 April lalu, jam 5.15 petang di sebuah restoran selepas dihubungi mangsa enam jam sebelum itu dan memaklumkan: “Kalau ada orang (SPRM) telefon awak, awak kata awak tak bagi saya.”
Wan Zainalabidin berkata, beliau hairan dengan suruhan itu kerana pada malam 4 April lalu, Allahyarham menelefonnya memaklumkan memberi keterangan kepada SPRM pernah menerima wang RM50 atau RM100 daripada Zainal dan Schenker.

“Sepanjang hari saya tunggu orang SPRM telefon tetapi tidak ada, kemudian saya telefon arwah ajak minum. Apabila saya tanyakan dia kenapa bagi nama saya kepada orang SPRM, Allahyarham kata dia buntu. Katanya hanya ingat nama Zainal, Schenker, Schenker, Zainal saja. Mungkin dia tertekan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya (TPR), Azlina Rasdi.

Beliau memberi keterangan di depan Koroner Aizatul Akmal Maharani, dalam prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbaini yang ditemui mati di gelanggang badminton bangunan SPRM, Jalan Cochrane, pada 6 April lalu.

Terdahulu, Penolong Penguasa SPRM, Henrita Serai Anak Andrew Lenggie, 24, dalam keterangannya memaklumkan beliau terkejut dan hampir pitam apabila melihat mayat Ahmad Sarbaini tertiarap di tingkat satu bangunan itu sebelum melaporkannya kepada Ketua Unit Siasatan.
“Saya masuk ke bilik pantri di aras tiga dan hairan melihat cermin tingkap bilik itu terbuka luas. Sebelum ini tingkap itu jarang terbuka, naluri saya rasa macam nak jenguk ke bawah sebelum nampak satu badan manusia berlumuran darah,” katanya yang juga saksi ke-10.

Prosiding bersambung lusa.
Berita Harian Online | Ahmad Sarbaini tak minta wang

No comments:

Post a Comment