Saturday, July 9, 2011

Skandal mungkin jejas PM Britain

NEWS OF THE WORLD 'INTIP' TELEFON
LONDON: Skandal 'pengintipan telefon' oleh tabloid News of The World berkemungkinan memalukan Perdana Menteri Britain, Encik David Cameron dengan penangkapan bekas ketua medianya, Encik Andy Coulson, semalam.

Encik Coulson merupakan editor tabloid itu dari 2003 hingga 2007 dan beliau dikatakan mengetahui perkara itu.

Encik Coulson ialah ketua media Encik Cameron sehingga Januari lalu.

Beliau dijangka dibebaskan dengan ikat jamin.

Kelmarin, pengerusi News International, Encik James Murdoch, mengumumkan operasi akhbar tabloid mingguan mereka itu ditamatkan.

Menurut Encik Murdoch, akhbar tabloid yang berusia 168 tahun itu dan juga merupakan tabloid mingguan terlaris di Britain akan diterbitkan buat kali terakhir esok.

Encik Cameron berkata penutupan tabloid itu tidak akan menjejas siasatan polis berkaitan skandal itu.

'Apa yang penting ialah semua kesalahan telah didedahkan dan mereka yang bertanggungjawab atas tindakan mengejutkan ini harus diheret ke muka pengadilan,' kata pejabat Encik Cameron dalam satu kenyataannya.

Tabloid itu didakwa mengintip perbualan mangsa jenayah, selebriti dan ahli-ahli politik sehingga membolehkannya membawa laporan sensasi sejak sekian lama.

Antara lain, akhbar itu dikatakan telah mengintip perbualan seorang pelajar perempuan yang kemudian dijumpai mati dibunuh pada 2002 dan perbualan saudara mara askar yang terkorban di Afghanistan.

Akhbar itu turut didakwa memberi rasuah kepada pegawai polis bagi mendapatkan maklumat.

Skandal penggodaman telefon telah merosakkan imej akhbar berkenaan dan menyebabkan berpuluh-puluh syarikat menarik iklan mereka.

Kelmarin, pihak polis dilaporkan mahu berhubung dengan 4,000 orang yang dikatakan menjadi sasaran pengintipan.

Editor tabloid itu, Encik Colin Myler, berkata ia merupakan hari yang paling menyedihkan dalam 'kerjaya profesional' beliau.

'Tiada apa yang seharusnya memusnahkan segala kejayaan yang telah dicapai oleh akhbar unggul ini,' kata beliau dipetik laporan BBC.

Akhbar itu yang terkenal kerana laporan-laporan eksklusif mempunyai edaran 2.7 juta setiap minggu.

Seramai 200 kakitangan tabloid itu akan kehilangan pekerjaan mereka ekoran penutupannya.

Dalam satu kenyataannya, Encik Murdoch berkata jika dakwaan mengenai pengintipan itu didapati benar, ia merupakan 'satu tindakan tidak berperikemanusiaan dan tidak mempunyai tempat dalam syarikat kami'.

'Para pesalah telah menjadikan bilik berita kami yang baik kepada jahat,' tegasnya. -- AP, AFP, Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment