Menurut pengerusinya, James Murdoch, syarikat akhbar berusia 168 tahun itu akan mencetak edisi terakhir pada Ahad ini selepas didakwa mendapatkan cerita panas dengan membayar pihak polis untuk menggodam telefon seorang gadis yang dibunuh serta keluarga tentera yang terkorban.
"Berdasarkan nasihat daripada pegawai yang lain, saya memutuskan untuk mengambil tindakan tegas terhadap akhbar tabloid ini.
"Hari Ahad ini akan menjadi edisi terakhir News of the World yang dicetak," katanya.
Tambahnya, dalam edisi terakhir akhbar itu, semua ruang iklan akan diberi percuma sebagai usaha kebajikan yang ditunjukkan oleh syarikat tabloid itu kepada jutaan pembacanya.
Seorang pekerja syarikat yang terkejut besar dengan berita tersebut berkata, pengumuman penutupan syarikat tabloid itu umpama 'letupan bom nuklear' kepada syarikat akhbar kedua terbesar, yang meraih jualan kira-kira 2.3 juta cetakan setiap minggu.
Penutupan News of the World mencetuskan spekulasi yang mengatakan Rupert Murdoch (gambar) telah menawarkan akhbar tabloid terbabit sebagai korban untuk menyelamatkan bidaannya terhadap syarikat gergasi televisyen berbayar, BSkyB.
Bagaimanapun, bidaan tersebut tertakluk kepada keputusan kerajaan yang akan diberitahu kelak.
Dalam pada itu, laporan BBC menyebut Murdoch akan menggantikan akhbar tabloid itu dengan akhbar harian, The Sun versi Ahad, yang meraih jualan paling laris di Britain.
Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, penutupan akhbar News of the World itu tidak akan mengalihkan perhatian polis yang sedang menjalankan siasatan berhubung kes penggodaman seperti yang didakwa. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara
No comments:
Post a Comment