Saturday, July 9, 2011

Presiden Yemen muncul semula di kaca televisyen

SANAA 8 Julai - Presiden Yemen, Ali Abdullah Salleh muncul di kaca televisyen semalam buat pertama kali sejak cubaan membunuhnya sebulan lalu dan berkata beliau bersedia untuk berkongsi kuasa dalam rangka kerja Perlembagaan.

Saleh yang menjalani rawatan di Riyadh selepas serangan bom pada 3 Jun lalu di kediamannya dilihat di kaca televisyen dengan wajah berparut kesan melecur terbakar dan tidak bermisai tebal seperti selalu.

Di dalam wawancara di televisyen Yemen yang telah dirakam awal sebelum itu, tangan beliau dilihat berbalut tebal.

"Kami tidak menentang penglibatan orang lain, kami mengalukan penglibatan dengan semua kuasa politik, sama ada mereka pembangkang atau memerintah, tetapi dalam satu rancangan yang akan dipersetujui orang ramai," katanya.

Saleh yang terbang ke negara jiran, Arab Saudi untuk menjalani rawatan selepas serangan itu, masih memegang tampuk pemerintahan walaupun mendapat tekanan antarabangsa dan protes ke atasnya selama enam bulan.

Tambah Saleh, beliau akan berdepan dengan cabaran demi cabaran, frasa yang dia telah sering gunakan dalam ucapannya.

Spekulasi tentang kesihatan Saleh dan kemungkinan dia akan kembali ke Yemen telah tersebar luas sejak lima minggu yang lalu.

"Saya telah menjalani lapan pembedahan dengan berjaya dan menderita kerana melecur," katanya sambil berterima kasih kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah kerana mengalukan ketibaan beliau. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment