Wednesday, August 10, 2011

Pendakwa bantah kehadiran Anwar sewaktu temu bual



KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pihak pendakwaan hari ini mengemukakan bantahan secara tidak rasmi kepada barisan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kehadiran Ketua Pembangkang itu pada sesi temu bual dengan saksi-saksi di Kompleks Mahkamah di sini.
Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden ketika dihubungi media menyatakan, bantahan tersebut dibuat atas alasan kehadiran tertuduh adalah tidak relevan selain Anwar turut diwakili peguam bela.
Kira-kira pukul 12.53 tengah hari ini, peguam bela, Sankara Nair memaklumkan kepada pihak media melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah akan mendengar bantahan tersebut di kamar beliau esok pagi dengan kehadiran kedua-dua pihak.
Terdahulu, sewaktu ditemui media pada pukul 10.48 pagi, peguam tersebut memberitahu, sewaktu sedang membuat persiapan untuk menemu bual saksi-saksi terbabit, pegawai penyiasat kes tersebut, Supritendan Judy Blacious Pereira memasuki bilik temu bual dan memaklumkan mengenai perkara tersebut termasuk keengganan saksi-saksi untuk ditemu bual sekiranya Anwar berada di bilik yang sama.
Pihaknya kemudian menelefon Mohd. Yusof bagi mendapatkan kepastian dan pada ketika itu mereka turut diberitahu bahawa pihak pendakwaan akan membawa isu tersebut kepada hakim yang mendengar perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Pada ketika itu, dua orang saksi iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof telah berada di tingkat B2 kompleks mahkamah terbabit.
Sementara itu, peguam bela utama, Karpal Singh yang ternyata tidak berpuas hati dengan bantahan tersebut menyatakan, Anwar mempunyai hak untuk berada di sesi temu bual tersebut.
''Kami memerlukan beliau (Anwar) untuk berada bersama bagi membantu kami sekiranya perlukan kepastian. Sekiranya sewaktu temu bual, Anwar menyatakan bahawa saksi tersebut tidak diperlukan, maka kami boleh menghentikannya serta merta,'' kata Karpal yang turut mendakwa kehadiran tertuduh sewaktu menemu bual saksi adalah perkara biasa bagi pihaknya.
Beliau turut menegaskan kehadiran anak guamnya itu adalah diperlukan bagi setiap sesi temu bual dan sebarang temu ramah dengan saksi-saksi lain tidak boleh diteruskan selagi isu ini tidak diselesaikan.
Pada sesi yang tidak menjadi hari ini, pihak pembelaan dimaklumkan oleh Judy bahawa terdapat enam orang saksi yang telah menyatakan kesediaan untuk hadir ke mahkamah esok tetapi pegawai penyiasat terbabit tidak dimaklumkan secara terperinci siapa saksi berkenaan.
Semalam, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk menemubual saksi-saksi termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Temu bual tersebut bagaimana pun adalah tertakluk kepada persetujuan saksi-saksi sama hendak memberikan keterangan atau sebaliknya.
Anwar memohon temu bual tersebut diadakan bagi menentukan saksi mana yang akan dipanggil pada prosiding perbicaraan di peringkat bela diri yang dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment