Wednesday, August 10, 2011

Penduduk dipindah jika ia langkah terbaik

CAMERON HIGHLANDS 9 Ogos - Kesemua penduduk Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata di sini yang berjumlah lebih 600 orang akan dipindahkan jika ia merupakan langkah yang terbaik untuk mereka.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada laporan kajian struktur dan kontur tanah oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains Pahang yang dijangka siap kira-kira dua minggu lagi.
"Kita ada dua pilihan iaitu mengekalkan penduduk di kampung tersebut jika kawasan itu didapati selamat. Namun, perlu ada pemulihan struktur tanah termasuk laluan air di cerun bukit.
"Pilihan kedua ialah memindahkan mereka ke kawasan berdekatan jika kampung mereka sudah tidak selamat untuk diduduki. Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pahang akan mencari penyelesaian terbaik," katanya kepada pemberita semasa melawat mangsa tragedi tanah runtuh yang kini ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Brinchang, di sini.
Terdahulu, beliau membuat tinjauan bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Datuk Mohd. Sani Mistam ke kawasan kejadian.
Menurut Mohd. Shafie, berdasarkan pemerhatian beliau, kawasan perkampungan Sungai Ruil sudah tidak selamat untuk diduduki.
"Saya lihat tanah di situ lembut kerana tidak ada batu dan tidak banyak pokok. Kalau ada pun, cuma pokok-pokok kecil," katanya.
Mohd. Shafie memberitahu, ekoran kejadian itu, perlu ada kajian memastikan keselamatan penempatan Orang Asli di kawasan bukit di seluruh negara termasuk Pahang dan Perak.
"Namun, setakat ini, saya belum terima laporan ada kawasan penempatan Orang Asli yang kritikal (terdedah kepada bahaya)," katanya.
Mengulas cadangan Mohd. Sani supaya kerajaan menukarkan jenis kediaman sedia ada kepada pangsapuri atas faktor keselamatan, beliau memberitahu, ia antara yang sedang dibincangkan oleh kerajaan.-utusan

No comments:

Post a Comment