Wednesday, August 10, 2011

Sembilan yang dituduh beri keterangan palsu kes rasuah Norza dibebaskan

TEMERLOH: Sembilan saksi yang dituduh memberikan keterangan palsu membabitkan kes dakwaan rasuah bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. Masjitret Siti Hajar Mustaffa semasa membacakan keputusannya berkata beliau mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua tertuduh. Mereka yang dibebaskan ialah Datuk Khadri Musa, 48, Muhammad Anuar Mohd Yunus, 44, Nasaruddin Abdullah, 48, Mohd Sabri Aziz, 46, Yusof Jamaluddin, 54, Jalaluddin Johan, 48, Mohd Taupik Hussin, 41, Nor Azhar Abdul Latip, 49, dan Saiful Azman Mokhtar Affendi, 46.
Mereka didakwa memberi keterangan yang bercanggah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh Azuar Che Yusof semasa perbicaraan terhadap Mohamad Norza yang bermula dari 10 Februari 2009 hingga 13 Mei tahun lalu. Keterangan itu didakwa bercanggah dengan keterangan yang diberikan mereka kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 20 Januari 2009 dan 23 April 2009 di pejabat SPRM Temerloh. Dakwaan terhadap kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun, denda atau kedua-duanya. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Putrajaya, Mohd Josiendra Abu Senin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Francis Tan. Pada 17 Jun 2010, Mohamad Norza dan ejennya, Halimi Kamaruzaman dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah setelah pihak pendakwaan tidak berhasrat mengemukakan keterangan lanjut selepas saksi-saksi yang memberi keterangan sebelum itu berpaling tadah. Mohamad Norza, 43, didakwa memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan supaya mengundinya memenangi jawatan Majlis Tertinggi pada Perhimpunan Agung UMNO. Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada jam 6.30 petang 20 Januari 2008 di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini. - BERNAMA -bharian

No comments:

Post a Comment