Wednesday, August 10, 2011

Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: Lawat lokasi penemuan bukti

TILAIYALAGAN (kanan) dan   Matan  diiringi anggota polis  ke Mahkamah Tinggi  Shah Alam, semalam.
TILAIYALAGAN (kanan) dan Matan diiringi anggota polis ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Hakim benar permohonan untuk ke kawasan belum dikunjungi

SHAH ALAM: Hakim Datuk Akhtar Tahir, pasukan pendakwaan, pembelaan dan semua tertuduh akan melawat lokasi penemuan bukti dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Banting dan Subang Jaya, hari ini.

Akhtar membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof untuk mengadakan lawatan kedua ke kawasan yang sebelum ini tidak dilawati di Banting ketika lawatan pertama pada 13 Julai lalu.
Antara lokasi yang akan dilawati termasuk Jalan Gelanggang Buaya dan sungai di Jalan Kelanang di Banting.
Mereka juga akan melawat dua lokasi di Subang Jaya iaitu tempat dua kereta BMW milik Sosilawati dan peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, ditemui.

Terdahulu, sebelum perbicaraan bermula, peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan memohon supaya prosiding bicara dalam bicara (TWT) yang sepatutnya bersambung semalam, ditangguhkan kerana anak guamnya dan tertuduh keempat, R Khatavarayan tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh kedua, T Thilaiyalagan juga memohon supaya TWT ditangguhkan ke Khamis ini kerana pembelaan mahu mengeluarkan sapina terhadap beberapa saksi.

Akhtar kemudian membenarkan permohonan itu dan mengarahkan saksi pendakwaan dalam perbicaraan utama dipanggil memberi keterangan.
Dua saksi yang memberi keterangan semalam ialah anggota forensik, Lans Koperal Salmi Putit dan Sarjan Mohamed Dahlan Rasee.

Mohamed yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-36, memberitahu mahkamah beliau membuat lakaran kasar di parit Jalan Gelanggang Buaya di Kampung Kelanang pada petang 14 September 2010.

Katanya, beliau dan pegawainya, Pegawai Turus D10 Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan (DSP) Sheikh Zainal Abidin Sheikh Omar serta anggota lain tiba di lokasi itu kira-kira jam 5.45 petang.

“Apabila sampai, saya nampak ada tiga penyelam daripada Pasukan Gerakan Marin di dalam parit, manakala Sheikh Zainal Abidin menemui pegawai penyiasat, Cif Inspektor N Govindan.

“Selepas berjumpa Govindan, DSP Sheikh datang kepada kami dan arahkan saya lukis gambarajah kasar,” katanya menjawab Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Ditanya peguam bela, Amer Hamzah Arshad, Mohamed bersetuju tindakan penyelam dan Govindan yang memulakan pencarian dalam parit itu adalah bertentangan dengan prosedur siasatan tempat kejadian.

Beliau yang sudah 32 tahun bertugas sebagai anggota polis, bersetuju cadangan Amer Hamzah bahawa anggota polis dari pasukan lain perlu menunggu sehingga pasukan forensik tiba di lokasi tempat kejadian.

Mohamed juga memberitahu mahkamah beliau tidak terbabit dalam proses membalut kepingan zink yang dijumpai di situ.

Ketika disoal semula, Mohamed berkata, ketika sampai, beliau melukis gambarajah kasar kawasan itu dan ketika sedang melukis, beliau nampak anggota penyelam mengeluarkan kepingan zink dari parit dan beliau terus melukis gambar zink dalam lakarannya.

Salmi, 35, pula memberitahu mahkamah beliau melukis gambarajah kasar tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, Subang Jaya, berhadapan dengan Hotel Grand Dorsett, tempat kereta BMW bernombor pendaftaran AAJ5 milik Ahmad Kamil ditemui.

Perbicaraan bersambung hari ini. 

No comments:

Post a Comment