Wednesday, August 10, 2011

Pemuda Pas akan pertahankan akidah umat Islam - Nasrudin



KUALA LUMPUR 9 Ogos - Dewan Pemuda Pas Pusat hari ini menegaskan bahawa pihaknya akan tetap mempertahankan akidah umat Islam daripada dirosakkan meskipun terpaksa mengorbankan tenaga serta wang ringgit, sekalipun dengan darah dan nyawa.
Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, itulah yang telah dilakukan oleh Pemuda Pas sejak dahulu lagi malah ada di antara mereka terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana memperjuangkan akidah umat dan menentang sebarang usaha yang cuba merosakkannya.
Justeru, beliau meminta semua umat Islam bersatu di bawah satu payung akidah bagi memastikan tiada ruang retak dan bocor yang akhirnya membolehkan musuh Islam menyelinap masuk meruntuhkan struktur kekuatan umat Islam dari dalam.
"Harga akidah umat Islam tidak boleh dibayar dengan nilai sebuah atau lebih kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), juga tidak boleh ditebus dengan nilai jawatan bertaraf menteri atau wakil rakyat sebaliknya nilai akidah, taruhannya ialah darah dan nyawa,'' katanya di dalam blognya http://www.eperjuangan.com/.
Sementara itu di Shah Alam hari ini, Nasrudin berkata, Pemuda Pas menyatakan pendirian menyokong penuh pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, minggu lalu.
Beliau berkata, sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab ke atas pemeliharaan akidah umat Islam, tindakan JAIS wajar dilakukan selaras dengan tugas pihak berkuasa agama tersebut memelihara kesucian Islam dan para penganutnya di negeri itu.
"Kita menegaskan bahawa tugas dan peranan JAIS dalam menjaga kesucian dan kedudukan agama Islam dan akidah umatnya adalah satu tindakan murni dan wajar disokong.
"Atas dasar itu juga maka kita harus memberi kepercayaan tanpa prejudis dalam usaha menjaga kepentingan agama Islam," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali di pejabatnya di sini.
Menurut Nasrudin, pertemuan itu diadakan bagi mendapatkan penjelasan sebenar daripada Hasan mengenai pemeriksaan JAIS ke atas satu penganjuran majlis makan malam muhibah yang turut dihadiri 12 penganut Islam di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya pada malam 3 Ogos lalu.
Mengulas pertemuannya dengan Hasan, Nasruddin menyatakan pihaknya amat berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Exco kerajaan negeri itu mengenai isu berkenaan.
"Dalam pertemuan itu, beliau (Hasan) memberikan penjelasan mengenai beberapa perkara mengenai kes itu. Beliau juga cakap ada bukti (pesong akidah umat Islam), tetapi dalam siasatan.
"Secara keseluruhannya, kami sangat berpuas hati dengan penerangan dan penjelasan daripada beliau," ujarnya.
-utusan

No comments:

Post a Comment