Wednesday, August 10, 2011

Mangsa tanah runtuh mahu pindah ke penempatan baru



CAMERON HIGHLANDS 9 Ogos - Sebahagian besar daripada 602 penduduk perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata di sini mahu berpindah dari kawasan tersebut yang dilanda tanah runtuh, kelmarin.
Menurut mereka, walaupun kampung itu adalah kediaman keluarga mereka sejak turun-temurun, tempat itu sudah tidak selamat dan berbahaya untuk dihuni.
Seorang penduduk, Wahab Din, 43, yang kehilangan abang iparnya dalam tragedi itu berkata, jika boleh dia sekeluarga mahu dipindahkan ke kawasan tanah rata yang selamat diduduki.
"Saya hendak pindah sebab tanah di Sungai Ruil ada banyak cerun dan anak sungai. Selepas kejadian kelmarin, semakin banyak tanah yang rebak.
"Paling menakutkan setiap kali hujan, air akan keluar dari cerun bukit seperti ada laluan air di dalamnya," katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Brinchang di sini, hari ini.
Dalam kejadian tanah runtuh di kampung itu petang kelmarin, tujuh termasuk empat wanita dan tiga lelaki maut tertimbus manakala dua cedera parah.
Ekoran itu, semua 602 penduduk daripada 129 keluarga dari perkampungan itu dipindahkan sementara ke Dewan Serbaguna SJKC Brinchang.
Seorang lagi penduduk, Talib Bah Alek, 30, memberitahu, dia kini takut untuk pulang semula ke Sungai Ruil kerana bimbang kejadian sama berulang.
"Saya masih trauma dan tidak sanggup untuk kembali tinggal di kampung itu. Kalau boleh saya hendak pindah ke kawasan berdekatan yang lebih selamat," katanya.
Ady Huzari Babukin, 21, pula berharap kerajaan dapat membantu menyediakan kawasan penempatan baru untuk penduduk di situ.
"Saya takut untuk pulang kerana hujan lebat setiap hari, takut nanti tanah runtuh lagi," katanya.
Bagi Rosnah Bah Yong, 31, pula, dia menyerahkan kepada kerajaan dan tok batin untuk membuat keputusan sama ada memindahkan atau mengekalkan mereka di kampung itu.
Sementara itu, Samsudin Bah Angah, 39, berkata, jika boleh dia mahu terus tinggal di kampung tempat lahirnya itu.
"Tempat ini bagus. Suasananya nyaman, tenang dan tiada gangguan. Saya suka tinggal di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment