Wednesday, August 10, 2011

Penjara Pengkalan Chepa siasat dakwaan pencabulan hak asasi banduan





2011/08/10

KOTA BHARU: Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Husin Johari, berkata siasatan sedang dijalankan mengenai dakwaan kononnya berlaku pencabulan hak asasi membabitkan banduan di blok kuarantin penjara itu. 

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu pejabat Jabatan Penjara mengenai dakwaan seorang bekas banduan yang ditahan di blok itu.
"Buat masa ini saya tak dapat nak komen lanjut kerana sedang menjalankan siasatan dalaman," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semalam, bekas banduan, Ahmad Syauqey Abdul Ghani, 36, dari Wakaf Aik, Bachok, mendakwa berlaku beberapa pencabulan hak asasi terhadap beliau dan banduan lain di blok kuarantin penjara itu, antaranya keadaan di situ menghadapi kesesakan melampau. 

Ahmad Syauqey, yang merupakan aktivis sosial, ditahan akibat kegagalan membayar wang jaminan setelah melakukan kesalahan menghalang tugas penjawat awam dan berkelakuan tidak senonoh di hadapan Balai Polis Bachok. 

Dia ditahan di Penjara Pengkalan Chepa pada 23 Jun dan dibebaskan 5 Julai lalu setelah wang jaminan dibayar di Mahkamah Majistret Bachok. 

Husin berkata, Jabatan Penjara memandang serius dakwaan Ahmad Syauqey itu kerana ia mencalar imej jabatan. 
Ahmad Syauqey ketika dihubungi berkata, beliau membuat laporan itu mewakili 113 rakan banduan lain di blok kuarantin penjara itu yang tidak tahan diperlakukan sedemikian. - BERNAMA -bharian

No comments:

Post a Comment