Wednesday, August 10, 2011

Perkasa mahu polis buat siasatan

PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu polis membuat siasatan terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya, di sini yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 3 Ogos lalu, kerana percaya terdapat unsur-unsur cubaan memurtadkan golongan Islam yang dijemput pada majlis makan malam berkenaan.
Yang di-Pertua Perkasa Negeri Selangor, Abdullah Mansor yang tampil membuat laporan polis bersama lebih 20 anggota Perkasa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini semalam mendakwa, program berkenaan mempunyai agenda halus untuk mengembangkan agama Kristian.

Menurutnya, tindakan gereja berkenaan membekalkan kitab Injil (Bible) dalam Bahasa Melayu kepada tetamu Islam yang hadir amat bercanggah dengan perlembagaan negara.

“Walaupun kebebasan beragama adalah amalan negara ini, namun percubaan halus memurtadkan orang Islam mesti dihalang kerana ia salah di sisi undang-undang. “Perkasa negeri Selangor menggesa pihak polis dan pihak yang bertanggungjawab supaya menyiasat perkara ini dengan terperinci kerana ia amat sensitif dan boleh mengancam ketenteraman awam,” katanya.

Menurut Abdullah, Jais berhak untuk menggeledah atau menyerbu mana-mana tempat apabila mendapat maklumat sah berlaku perkara-perkara yang tidak selaras dengan Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

“Laporan polis ini dibuat supaya siasatan dan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap golongan bukan Islam yang menganjurkan majlis berkenaan mengikut Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam 1988). “Selain itu, kami juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat berkenaan kemasukan Kitab Injil Bahasa Melayu ke Semenanjung Malaysia sedangkan kitab berkenaan hanya untuk pengedaran di negeri Sarawak,” katanya-hmetro

No comments:

Post a Comment