Wednesday, August 10, 2011

Suspek rasuah tinggalkan anak-anak di Kuala Lumpur





JAKARTA 9 Ogos - Bekas bendahari Parti Demokrat, Muhammad Nazaruddin yang ditahan pihak berkuasa di Colombia, kelmarin atas dakwaan rasuah, dipercayai meninggalkan anak- anaknya di Kuala Lumpur, Malaysia.
Menurut Ketua Jabatan Perhubungan Awam Polis Indonesia, Jeneral Anton Bachrul Alam, pihak berkuasa, bagaimanapun belum dapat mengesahkan berapa ramai anak Nazaruddin yang ditinggalkannya di negara jiran itu dan siapa yang menjaga kebajikan mereka.
Isteri suspek yang turut didakwa terlibat dalam skandal rasuah berprofil tinggi itu, Neneng Sri Wahyuni pula dipercayai sering mendampingi Nazaruddin sepanjang pelariannya.
“Anak-anak Nazaruddin berada di Kuala Lumpur. Belum tahu dengan siapa dan berapa orang anaknya yang berada di sana (Kuala Lumpur). Selama melarikan diri, Nazaruddin sering didampingi isterinya,” kata Anton pada sidang media di ibu pejabat polis Indonesia, di sini hari ini.
Anton juga memberitahu bahawa Neneng tidak menggunakan pasport palsu selama menemani suaminya berpindah dari sebuah negara ke negara lain.
Berdasarkan siasatan polis, Nazaruddin dipercayai melarikan diri dari Singapura sebelum terbang ke Vietnam dan Kemboja.
Sebelum tiba Bogota, Colombia, Nazaruddin terlebih dahulu transit di Madrid, Sepanyol. - Utusan

No comments:

Post a Comment