Wednesday, August 10, 2011

LPK keluar surat sebelum Kabinet





KUALA LUMPUR 9 Ogos – Surat perjanjian jual beli tanah seluas 404.6 hektar di Pulau Indah, Klang antara pemilik tanah Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) dengan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) telah ditandatangani dua minggu sebelum surat rasmi Jemaah Menteri berhubung perkara itu dikeluarkan.
Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Perancangan di Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd. Noor, 63, berkata, Jemaah Menteri membuat keputusan berhubung pembelian tanah itu pada 6 November 2002 dan surat rasmi bertarikh 20 November 2002 dikeluarkan selepas 14 hari keputusan mesyuarat itu dikekalkan iaitu pada 2 Oktober 2002 untuk membeli tanah tersebut.
Sungguhpun begitu, menurutnya, bekas Pengurus Besar LPK, O.C. Phang telah menandatangani dokumen jual beli antara LPK dengan KDSB pada tarikh yang sama, 6 November 2002 dan ia sama dengan keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri sebelum ia dibalas kembali pada keesokan harinya, 7 November tahun yang sama.
Dalam mesyuarat Kabinet pada 6 November 2002, Jemaah Menteri memutuskan pembelian tanah berdasarkan terma dan perjanjian antara LPK dengan KDSB berdasarkan harga RM25 sekaki persegi.
Abdul Rahman yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah sama ada perjanjian itu dibentangkan dalam mesyuarat untuk mendapatkan kelulusan terlebih dahulu, Abdul Rahman berkata, seingat beliau, ia tidak dilakukan.
Walhal kata saksi pendakwa keempat itu yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion itu sepatutnya mendapat kelulusan ahli Lembaga Pengarah terlebih dahulu.
Sementara itu dalam pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Liong Sik, Abdul Rahman berkata, tertuduh tidak terlibat dalam penyediaan dua dokumen iaitu nota daripada Menteri Pengangkutan berhubung pengambilan balik Tanah Pulau Indah dan nota lengkap beserta lampiran daripada menteri berkenaan.
Katanya, Liong Sik juga tidak meminda ataupun mengambil bahagian untuk menyediakan dua dokumen tersebut.
‘‘Selaku TKSU ketika itu, sekiranya berlaku sebarang kesilapan, saya bertanggungjawab untuk memberitahunya kepada Liong Sik,’’ kata Abdul Rahman.
Menurut saksi itu, sehingga bersara beliau tidak pernah menghantar memo ataupun nota kepada Liong Sik bahawa terdapat sebarang kesilapan dan menyifatkan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri tidak bertentangan dengan kedua-dua dokumen tersebut.
Abdul Rahman selain itu bersetuju dengan cadangan Kian Kheong bahawa bagi projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) memang tiada kertas Kabinet kecuali ringkasan nota daripada Menteri Pengangkutan berhubung pengambilan balik tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Hub Distribution oleh LPK.
Liong Sik dibicarakan atas satu tuduhan utama pindaan dan dua tuduhan pilihan pindaan iaitu menipu Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.
Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi yang masuk hari ketujuh hari ini bersambung esok.-utusan

No comments:

Post a Comment