LONDON 9 Ogos - Bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Jacqueline Kennedy-Onassis percaya Naib Presiden AS, Lyndon B. Johnson bertanggungjawab di atas pembunuhan suaminya, menurut pita yang dirakam oleh wanita itu beberapa bulan selepas kematian Presiden John F. Kennedy, lapor akhbar Daily Mail.
Dalam pita rakaman yang bakal diterbitkan ABC News itu, Jacqueline mendedahkan beliau percaya Johnson bersama ahli-ahli perniagaan dari selatan AS telah merancang pembunuhan suaminya di Dallas, Texas pada 22 November 1963.
Bagaimanapun, laporan Daily Mail mengenai kandungan pita tersebut dinafikan oleh ABC News yang menyifatkannya 'sama sekali silap'.
"ABC News tidak akan mendedahkan sebarang kandungan pita berkenaan sehingga pertengahan September ini, yang juga amat bercanggah dengan laporan akhbar tabloid itu," jelas jurucakap ABC News dalam satu kenyataan kepada FoxNews.com.
Stesen berita itu menyatakan, pita rakaman itu bakal memperlihatkan sisi unik dan penting seorang Wanita Pertama paling berpengaruh dalam sejarah AS.
Menurut Daily Mail, Jacqueline percaya bahawa penembak suaminya, Lee Harvey Oswald yang selama ini disangka pembunuh tunggal, merupakan sebahagian daripada konspirasi melibatkan Johnson.
Kata Daily Mail, pita itu yang dirakam bersama pakar sejarah Arthur Schlesinger Jr., turut mendedahkan hubungan sulit bekas Wanita Pertama tersebut dengan aktor William Holden selepas laporan menyatakan Kennedy curang disiarkan.
Pita tersebut yang kini disimpan rapi di dalam peti besi di Perpustakaan Kennedy di Boston sepatutnya didedahkan 50 tahun selepas kematian Jacqueline pada 1994.
Bagaimanapun anak perempuannya, Caroline Kennedy dilapor bersetuju mendedahkannya lebih awal sebagai pertukaran kepada langkah ABC menggugurkan drama siri televisyen tentang keluarga mereka.
Sehingga kini, masih belum jelas bilakah pita itu akan didedahkan. - Agensi, utusan
No comments:
Post a Comment