GAZA: Qatar semalam melancarkan satu rancangan membabitkan perbelanjaan RM762 juta untuk membina semula dan memodenkan wilayah Palestin ini.
Rancangan itu adalah suntikan bantuan pembangunan semula terbesar untuk wilayah berkenaan sejak ia musnah akibat serangan tentera Israel hampir empat tahun lalu.
Projek itu yang diumumkan pada sidang akhbar oleh duta Qatar, Mohammed Al-Amadi, memerlukan kerjasama Israel dan Mesir bagi membenarkan bahan binaan dan jentera berat memasuki Gaza yang dikepung Israel.
Menurut Mohammed, usaha untuk mendapat kebenaran itu sudahpun diatur. Kerja pembinaan akan dilancarkan dalam masa tiga bulan lagi bermula dengan sebuah lebuh raya di sepanjang pantai Mediterranean.
Projek berkenaan bertujuan mengubah Gaza dan kehidupan 1.6 juta penduduk nya, 28 peratus daripada mereka menganggur.
Pakar ekonomi berkata, ribuan kerja dapat diwujudkan oleh kontraktor tempatan yang memperoleh tender untuk melaksanakan kerja berkenaan dan perniagaan kecil yang akan membekal dan memberi perkhidmatan kepada mereka.
Hamas yang mentadbir Gaza mengalu-alukan pengumuman itu dan menyifatkannya sebagai bukti Gaza sudah bebas daripada dipencil.
Pembantu Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh, menganggapnya sebagai ‘titisan pertama hujan.’ Hamas dipulaukan oleh Barat yang menyifatkannya sebagai pertubuhan pengganas kerana ikrarnya untuk memusnahkan Israel.
Bagaimanapun, ia sudah mengubah pendiriannya. Hubungan kumpulan itu dengan Iran semakin renggang sejak tahun lalu, sebaliknya ia semakin rapat dengan Ikhwanul Muslimin yang kini mengetuai kerajaan di Mesir dan Qatar.
Duta Qatar berkata, politik tidak memainkan peranan dalam keputusannya untuk memberi bantuan.
“Dasar Qatar ialah kami melaksanakan projek itu, mereka dan membiayainya. Sebaik siap, kami akan menyerahkan kepada kementerian berkaitan. “Inilah dasar Qatar di mana-mana dan Gaza tidak terkecuali,” kata Mohammed.
Sebahagian Gaza musnah pada Januari 2009 selepas keganasan Israel selama seminggu yang didakwa untuk menghentikan serangan roket Hamas dan kumpulan militan lain di Gaza. - Reuters
No comments:
Post a Comment