Tunis: Seorang pemimpin pembangkang yang lantang mengkritik kerajaan serta keganasan dilakukan kumpulan Islam radikal maut ditembak, semalam, menjadikan beliau mangsa pertama pembunuhan politik di negara itu selepas era revolusi rakyat.
Dalam insiden yang bakal meningkatkan ketegangan di negara utara Afrika itu, Chokri Belaid ditembak ketika meninggalkan rumahnya di Tunis.
Chokri adalah anggota utama gabungan kumpulan beraliran kiri yang dikenali sebagai Barisan Popular.
Agensi berita TAP melaporkan, dia dikejarkan ke sebuah pusat perubatan berhampiran tetapi gagal diselamatkan. Berkhidmat sebagai peguam, Chokri, 48, dikenali sebagai pengkritik utama parti Islam beraliran sederhana, Ennahda, yang menguasai kerajaan Tunisia. Lebih 1,000 orang berkumpul di Tunis untuk mengecam insiden itu di depan Kementerian Dalam Negeri dan menyalahkan kerajaan atas kejadian itu.
Ia adalah lokasi sama mencetuskan protes besar-besaran antikerajaan yang akhirnya menjatuhkan diktator Tunisia, dua tahun lalu.
Sementara itu, Ennahda berkata, pembunuhan itu adalah “jenayah kejam” yang dilakukan untuk menggugat keselamatan dan kestabilan Tunisia. “Ennahda berpendapat ada pihak bersekongkol dalam jenayah ini dan menggesa pasukan keselamatan mengambil segala langkah perlu bagi mengesan pelakunya dan membawa mereka ke muka pengadilan,” kata kenyataan itu.
Motif pembunuhan itu masih samar, tetapi ia berlaku ketika Tunisia bergelut untuk mengekalkan kestabilan dan memulihkan ekonominya. Revolusi rakyat di Tunisia berjaya menggulingkan Zine El Abidine Ali sebelum kebangkitan itu merebak ke beberapa negara Arab lain. - AP
No comments:
Post a Comment