Thursday, February 7, 2013

Pendapatan anak SBY pula dipertikai



Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono perlu bertindak lebih daripada sekadar membuat dakwaan salah laku dalam isu cukai keluarganya.

Bekas Menteri Kewangan, Fuad Bawazier, berkata Susilo perlu menangani isu itu dengan telus demi kepentingan orang awam.


“Pembayar cukai mesti membuat penjelasan sama ada berlaku kesilapan pengisian dokumen atau sebarang masalah lain.

“Kita semua tidak tahu apa yang berlaku dan mereka mesti menjelaskannya,” katanya kepada media, semalam. Isu percanggahan data bayaran cukai ahli keluarga Susilo dilaporkan akhbar The Jakarta Post awal minggu ini.


Menjawab isu itu dalam sidang media di Jeddah, Arab Saudi, Isnin lalu, Susilo berkata, maklumat disiarkan akhbar itu berbeza daripada data diterima pihak berkuasa percukaian Indonesia.


“Bagaimanapun, itu bukan apa yang ingin saya jelaskan.

“Saya mahu memberitahu rakyat Indonesia bahawa saya dan anak lelaki saya memenuhi tanggungjawab membayar cukai secara jujur,” katanya. Dokumen diperoleh The Jakarta Post menunjukkan beberapa percanggahan antara kekayaan keluarga Susilo dengan pendapatan tahunan mereka.


Maklumat itu dikesan hasil dokumen diserahkan Susilo dan dua anak lelakinya, Agus Harimurti dan Edhie Baskoro.

Sebagai pegawai pasukan Komando Simpanan Strategik Angkatan Darat di Jakarta, Agus mengisytiharkan pendapatan tahunannya pada 2011 sebanyak RM22,619.


Bagaimanapun, Agus didapati membuka empat akaun bank berbeza dan menyimpan lebih RM512,300 pada tahun sama. Tiada sebarang dokumen menjelaskan bagaimana Agus memperoleh pendapatan tambahan itu. Penyata pendapatan Edhie pada 201 juga menimbulkan tanda tanya apabila dia memperoleh pendapatan RM58,595 sebagai wakil rakyat Parti Demokrat.


Pada masa sama, dia juga memiliki pelaburan bernilai RM288,000 di syarikat PT Yastra Capital, selain simpanan tunai bernilai lebih RM1 juta. - Jakarta Post

No comments:

Post a Comment