Thursday, February 7, 2013

Pusat Perisik tentera Syria diserang



Damsyik: Sekurang-kurangnya 12 tentera Syria terbunuh dalam dua serangan bom kereta yang mensasarkan ibu pejabat perisikan tentera di bandar Palmyra, selatan-tengah Syria, semalam.

Kumpulan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi berkata, lebih 20 tentera juga cedera, sebahagiannya parah selepas serangan serentak itu.


Menurutnya, penentang Presiden Bashar al-Assad menyerang bangunan berkenaan sebaik serangan bom kereta di bandar yang terkenal kerana kesan runtuhan empayar Rome dan diiktiraf sebagai kawasan warisan dunia oleh Unesco.

Tembak menembak yang berlaku selepas pengeboman berkenaan menyebabkan lapan orang awam cedera.


Agensi berita Sana melaporkan, dua lelaki meletupkan diri mereka dalam dua kereta yang sarat dengan bahan letupan.


Pengeboman bunuh diri seumpama itu semakin meningkat di Syria dan biasanya didakwa oleh kumpulan jihad, khususnya Barisan Al-Nusra, yang disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, lebih 60,000 orang mati sejak keganasan meletus pada Mac 2011, ekoran pemberontakan untuk menggulingkan Bashar.

Kelmarin, 106 orang, 42 penentang, 37 orang awam dan 27 tentera kerajaan maut dalam pertempuran di seluruh negara itu. - AFP

No comments:

Post a Comment