KUALA LIPIS 23 Ogos - Kehadiran bulan Ramadan tahun ini begitu bermakna bagi 10 keluarga Orang Asli di Kampung Nyentil, Pos Betau, dekat sini kerana pertama kali menunaikan ibadat puasa yang merupakan salah satu rukun Islam.
Sebagaimana masyarakat Melayu Islam, kaum minoriti itu 'sibuk' mengisi kedatangan bulan mulia ini dengan menunaikan solat tarawih dan bertadarus secara berjemaah.
Bagi kebanyakan saudara baru dari kaum minoriti suku Semai di Pos Betau yang memeluk Islam hampir setahun lalu, kedatangan Ramadan bukanlah suatu beban malah ia sentiasa dinanti-nantikan.
Sambil memanjat syukur terhadap segala nikmat yang diperoleh, mereka berterima kasih kepada kerajaan negeri dan badan-badan dakwah yang selama ini banyak memberi didikan dan asuhan berhubung cara hidup Islam.
Penduduk Orang Asli Islam Simoi Baru, Sam a/l Bah Kap, 40, berkata, ibadah puasa yang dijalani buat pertama kali menguji keimanannya.
"Walaupun sedikit kesulitan untuk membiasakan dengan amalan ini (puasa), saya tetap menempuhnya sesuai dengan ajaran Islam mewajibkan kita menunaikan rukun Islam itu.
"Insya-Allah, amalan puasa dapat menguatkan lagi keinsafan dan kesedaran saya serta keluarga dan berdoa supaya rakan lain yang belum memeluk Islam menerima hidayah Allah tidak lama lagi," katanya di Kampung Simoi Baru dekat sini, baru-baru ini.
Seorang suri rumah, Norizan a/p Bah Lipat, 37, berkata, amalan berpuasa banyak menginsafkan diri dan keluarganya terhadap kebesaran Islam khususnya mendidik diri sebagai Muslim sejati.
"Meskipun hidup susah, saya mampu mendidik anak-anak supaya lebih dekat dengan amalan ini serta memohon keberkatan hidup pada masa akan datang," katanya.
Rakannya, Norhayati a/p Tom, 24, berkata, kehadiran Ramadan merupakan detik yang paling bermakna untuk menginsafkan diri dan berpeluang melakukan sembahyang tarawih serta bertadarus pada sebelah malamnya.
"Kami Orang Asli tidaklah mampu berbelanja lebih untuk menyediakan pelbagai juadah seperti orang Melayu di tempat lain.
"Namun apa yang menggembirakan pada Ramadan ini, kami berkumpul beramai-ramai untuk berbuka puasa sambil menikmati makanan yang dibawa," katanya.
Ibu dua orang cahaya mata itu memberitahu, dia hanya menyediakan makanan ala kadar untuk juadah berbuka puasa seperti kuih-muih, nasi dan lauk kerana tidak mampu berbelanja berlebihan.
Seorang lagi saudara baru Islam Kampung Nyentil, Roslan a/l Bah Train, 27, berkata, kedatangan bulan mulia itu memberi kesempatan kepadanya untuk mendapat bimbingan seorang guru agama bertauliah bagi mendidiknya bersembahyang dan tadarus al-Quran.
"Inilah saat bagi saya setelah memeluk Islam untuk memohon keredaan Allah dan berdoa agar Orang Asli di tempat lain juga menerima sinar Islam," katanya.
Belia Kampung Nyentil, Farizul Shariff, 22, berkata, walaupun penat bekerja di ladang tetapi ia tidak menghalangnya untuk melaksanakan rukun Islam ketiga itu.
"Kami banyak menghabiskan waktu malam di surau untuk beribadat dan mengaji al-Quran menerusi bimbingan guru agama yang dilantik oleh kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, Tok Batin Orang Asli Kampung Temetong, Mehat a/l Ubaidillah, 51, berkata, amalan berpuasa memang satu kewajipan dan masyarakat Bateq di kampung itu tidak menghadapi kesukaran untuk melaksanakannya.
"Islam memberi sinar kehidupan kepada kami tentang bagaimana mencari rezeki yang halal tanpa bergantung dengan orang lain dan mengubah cara hidup berpindah randah yang diamalkan sebelum ini," katanya.
No comments:
Post a Comment