TEMERLOH 23 Ogos – Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menyelar sikap pihak tertentu yang sanggup menjual agama semata-mata untuk mencapai cita-cita politik mereka.
Beliau berkata, tindakan pihak terbabit boleh mencetuskan isu perkauman dan bibit perpecahan di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
‘‘Jika tidak ditangani segera isu penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang baru-baru ini menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan umat Islam.
‘‘Perbuatan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam doa khutbah Jumaat tidak sepatutnya berlaku kerana baginda adalah ketua agama negeri itu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pengagihan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa KIMMA Pahang 2010 di Mentakab dekat sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Syed Ibrahim Kader dan Pengerusi KIMMA Pahang, Mohd. Musa Noor Mohd.
Adnan berkata, nyata sekali pihak berkenaan tidak peka dengan sensitiviti umat Islam dan ia perlu dihentikan segera bagi mengelak berlaku pergaduhan di kalangan masyarakat Orang Melayu dan Cina.
Tambahnya, isu membabitkan soal agama tidak boleh dipandang remeh dan dipermain atau dipolitikkan.
Dalam perkembangan lain, Adnan meminta pemimpin KIMMA supaya aktif membantu ahli-ahlinya dan orang ramai yang miskin dan menghidap penyakit kronik serta memerlukan bantuan.
Katanya, ahli-ahli KIMMA perlu bersatu dan menjadi warganegara yang setia serta bersama-sama menjaga keamanan dan ketenteraman negara ini.
‘‘Pasti semua anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna bagi menjamin masa depan dan kerajaan melalui Yayasan Pahang sedia membantu pelajar yang susah, bukan sahaja anak-anak ahli KIMMA tetapi seluruh rakyat Pahang tanpa mengira kaum dan agama,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment