Tuesday, August 24, 2010

Zakaria dipanggil beri keterangan

BUKIT MERTAJAM 23 Ogos - Khatib Zakaria Ahmad yang dikaitkan dengan isu penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat di beberapa masjid di negeri ini mengesahkan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung isu tersebut.
Zakaria memberitahu, pihak polis telah menghubunginya hari ini dan memintanya hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan tetapi ditangguhkan kerana dia tidak berada di negeri ini.
''Saya diberitahu ia ditangguhkan dulu setidak-tidaknya untuk beri keselesaan kepada saya yang tidak menetap di Pulau Pinang. Saya dimaklumkan polis sendiri mungkin datang ke rumah untuk ambil keterangan pada bila-bila masa," katanya ketika dihubungi di Manjung, Perak hari ini.
Khatib itu mendapat perhatian umum berikutan pendedahan UMNO negeri berhubung penggunaan nama Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam doa khutbah solat Jumaat di beberapa masjid termasuk di Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Jelutong baru-baru ini.
Zakaria yang juga ahli Pas Perak mengakui ada melafazkan doa untuk Guan Eng tetapi menegaskan tidak pernah mendoakan keselamatannya sebaliknya memohon supaya Guan Eng diberikan hidayah memeluk agama Islam.
Ditanya sama ada isu itu memberi tekanan kepadanya, Zakaria berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama memberi keterangan kepada polis kerana percaya tidak ada apa yang perlu disembunyikan.
''Saya tiada masalah, polis nak kita bantu (siasatan) jadi kita kena bantulah, saya masih tunggu lagi kerana mereka (polis) kata mungkin mereka nak datang sendiri ambil keterangan dalam masa terdekat ini," tambahnya.
Zakaria yang juga lulusan Universiti Al-Azhar bagaimanapun meminta semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut dan menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.
''Polis pun dah kata nak siasat, tidak perlulah keluarkan lagi kenyataan yang boleh menjejaskan nama baik orang lain. Cukup-cukuplah isu ini dipolitikkan," ujarnya.
Sementara itu, khatib itu akan memberi penjelasan kepada pihak berkuasa agama negeri berhubung perkara itu esok.
Zakaria akan memberi penjelasan kepada barisan panel yang dibarisi oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Ellias Zakaria, Pengarah Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Sazali Hussein dan Pegawai Pentadbir Agama Daerah di JHEAIPP.
Ellias berkata, pihaknya sudah mengumpulkan segala maklumat yang diperlukan, namun sehingga hari ini MAIPP dan JHEAIPP tidak dapat menentukan ayat sebenar yang digunakan Zakaria dalam khutbah tersebut.
''Alhamdulillah, individu yang dilibatkan itu juga telah membuat pengakuan bahawa beliau yang membaca doa yang disebut itu dan bagi pihak kami pula akan mendengar penjelasannya esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ditanya adakah wujud arahan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong perlu disebut dalam khutbah solat Jumaat, beliau menjawab, dalam penyampaian khutbah di negeri ini, Perkara 6 (Panduan Mendirikan Solat Jumaat) yang dikeluarkan JHEAIPP ada mengatakan dua nama perlu disebut.
''Selain menghormati rukun khutbah, kuasa hal ehwal agama Islam adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong, maka nama Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas perlu disebut," ujarnya.

No comments:

Post a Comment