Tuesday, August 24, 2010

UMNO dah teruk

Mahu Nurul Izzah disiasat bawah ISA 
KUALA LUMPUR – Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar disiasat mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menjejaskan imej negara dalam satu temu bual sebuah akhbar Indonesia, 4 Ogos lalu. 

Muhammad Zahid Md Arip membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam, menggesa anak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu disiasat mengikut Perkara 28 dan Perkara 499 (Darihal Fitnah) Kanun Keseksaan. 

Muhammad Zahid berkata, Nurul Izzah didakwa menyebarkan kenyataan palsu tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang digunakan untuk mencari simpati masyarakat Melayu dan merendahkan keupayaan kapal selam negara. 

“Kenyataan mengenai DEB itu jelas suatu pembohongan berniat jahat kerana dasar ini untuk menyusun semula masyarakat bagi memastikan negara terus berada aman damai. 

“Beliau (Nurul Izzah) juga seolah-olah menderhaka dan mempersendakan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (DYMM) yang berkenan mentauliahkan kedua-dua kapal selam dengan nama KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak, sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis, semalam. 

Katanya, beliau bimbang kenyataan Nurul Izzah itu menyebabkan orang luar memandang rendah keupayaan sistem pertahanan negara dan mengundang minat mereka menguji serta melancarkan serangan terhadap Malaysia. 

Selain itu, di IPD sama, satu laporan polis dibuat Pemuda MIC dan MCA terhadap Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang menggesa kerajaan memansuhkan sekolah jenis kebangsaan seperti yang dilaporkan dalam satu portal berita. 

Exco Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata, laporan dibuat kerana kenyataan MPM berbaur perkauman yang boleh menjejaskan sistem pendidikan negara. 

“Kami percaya kenyataan itu berunsur provokatif yang menyinggung perasaan masyarakat Cina dan India di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment