Oleh Sarah Sulaiman
2010/08/23
SETAPAK: Keadaan Jalan Genting Klang, di sini yang sedang dinaik taraf menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai kerana beberapa tempat yang terbabit dalam projek pelebaran jalan itu didakwa terbiar tanpa sebarang kerja hingga menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya. Keadaan jalan itu didakwa tidak ubah seperti projek terbengkalai apabila pengguna mendakwa tidak nampak kerja menyiapkan jalan itu sejak hampir dua tahun lalu di beberapa tempat hingga menjadi antara sebab kesesakan jalan raya kawasan terbabit.Seorang pengguna jalan raya, Shabanil Yahya, 27, berkata keadaan jalan yang berlopak dengan dipenuhi tanda amaran menyebabkan kesesakan teruk setiap hari apabila jalan yang dibina sejak hampir dua tahun lalu tidak disiapkan pihak bertanggungjawab.Katanya, keadaan jalan itu juga berbahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam kerana lampu jalan yang dipasang tidak berfungsi.
“Sepanjang menggunakan jalan ini sejak hampir dua tahun lalu beberapa kawasan di Jalan Genting Klang yang sedang dalam pembinaan tidak disiapkan hingga menyusahkan pengguna jalan raya.
“Sepatutnya, pihak yang diberi tanggungjawab perlu menyegerakan jalan yang dibina untuk kemudahan orang ramai, bukannya menjadi ‘perangkap’ hingga menyebabkan kesesakan yang teruk hampir setiap hari terutama pada waktu puncak,” katanya.
Tinjauan Sentral mendapati memang berlaku kesesakan di sekitar jalan itu terutama di kawasan yang tidak disiapkan dan tidak kelihatan sebarang kerja atau jentera yang melakukan kerja.
Keadaan itu diburukkan dengan pemandu yang menjadikan kaki lima jalan untuk meletak kenderaan.
Seorang lagi pengguna, Mohd Sapuan Md Darji, 28, berkata disebabkan kerja menaik taraf jalan yang ‘terbengkalai’ itu laluan menjadi sempit dan berlakunya kesesakan.
“Sering kali berlaku kemalangan di sini disebabkan pengguna hilang sabar dengan keadaan jalan sesak. Keadaan ini sudah lama berlarutan dan tidak diselesaikan lagi.
“Ini adalah antara laluan utama digunakan pengguna, sepatutnya ia perlu diberi keutamaan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk menyiapkannya dengan lebih cepat,” katanya.
Seorang lagi pengguna jalan raya, John Francis, 18, berkata keadaan kaki lima jalan itu juga berbahaya kepada pejalan kaki kerana terdapat lubang longkang yang dalam hanya ditutup dengan kayu dan tidak sempurna.
“Dengan keadaan yang gelap memang ia berbahaya bukan saja kepada pengguna jalan raya tetapi kepada pejalan kaki yang tidak menyedari kehadiran lubang longkang yang hanya ditutup dengan kayu. Keadaan ini lebih berbahaya kepada mereka yang cacat penglihatan.
“Kita berharap pihak berkuasa mengambil berat masalah ini dan mengambil jalan terbaik untuk menyelesaikannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment