Tuesday, August 24, 2010

Ada pihak cuba timbulkan kekacauan?


KUALA LUMPUR 23 Ogos - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan terdapat usaha pihak tertentu untuk menimbulkan kekacauan di negara ini melalui isu perkauman dan agama.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, meskipun tiada laporan berlaku sebarang ketegangan ketika ini, namun pihaknya menyedari kemungkinan perkara itu berlaku dan beliau telah mengarahkan polis untuk mengambil tindakan awal bagi menghalang masalah itu daripada terus berkembang.
"Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang baru atau 'unik' kerana kita pernah menghadapi keadaan seperti ini sewaktu gereja dibakar dan masjid dicemari. Pihak berkuasa sudah tunjukkan bahawa kita mengambil tindakan tegas. Cuma, dalam siasatan kita perlu pastikan tiada pihak teraniaya.
''Saya percaya matlamat dan tujuan jahat ini tidak akan berkesan kerana pihak berkuasa mampu memastikan keadaan terjamin dengan rakyat berasa selesa dan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," katanya pada majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan kepada 30 anak yatim dan balu-balu bekas polis di Selangor, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kejadian surau baru di Taman Pulai Impian, Seremban disimbah dengan cat merah awal pagi ini.
Mengenai laporan polis yang dibuat beberapa pihak terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar beliau menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat individu tertentu melakukan sesuatu yang menjejaskan keselamatan dan keamanan di negara ini.
"Tetapi yang memburuk-burukkan Malaysia di negara luar tidak ramai. Mereka hanya melakukan perkara itu dalam kelompok masing-masing. Kalau kita hendak ambil tindakan kepada empat atau lima orang ini, saya rasa kita banyak kerja lain.
"Bukan saya menidakkan kepentingan isu ini, tetapi berdasarkan keutamaan kita perlu tahu perkara yang paling menjejaskan orang ramai dan memerlukan pembelaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya, Polis Terengganu sudah memperoleh beberapa petunjuk untuk menyelesaikan kes rumah tinggal yang dijadikan stor simpanan mercun meletup dan mengorbankan seorang budak lelaki berusia enam tahun semalam.
"Saya minta polis Terengganu kalau sudah cukup bukti, bawa mereka yang terlibat ke mahkamah secepat mungkin. Saya minta mereka agar siasat dengan bersungguh-sungguh," katanya.

No comments:

Post a Comment