JASIN 23 Ogos - Seperti tahun sebelumnya, pasangan suami isteri bisu, Abdul Aziz Hashim, 53, dan Nazura Kariman, 38, bersama empat orang anaknya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan sederhana.
Tidak ada sebarang persiapan rapi dibuat menjelang ketibaan Syawal melainkan kuih raya yang dibuat untuk dihidangkan kepada orang yang sudi singgah di rumahnya di Batu 21 Kampung Parit Putat, Sungai Rambai di sini.
Kesempitan hidup kerana pendapatan pasangan suami isteri itu yang bekerja sebagai tukang kebun dan tukang sapu sebanyak RM400 tidak membolehkan mereka berbelanja besar.
Biarpun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sebanyak RM600 setiap bulan, pasangan itu tetap mahu menjalani sambutan Aidilfitri dalam suasana yang sederhana.
Buat keempat-empat orang anaknya terdiri daripada Mohd. Fauzan, 16, Mohd. Faiz, 11, Mohd. Fauzi, 10, dan Mohd. Fitri, 6, mereka sekadar memakai baju Melayu dan baju raya yang dibeli tahun lalu.
Bagaimanapun, daripada empat anak pasangan itu, hanya anak kedua iaitu Mohd. Faiz, 11, mengalami kecacatan pendengaran seperti ibu bapanya.
Menurut Mohd. Fauzan, dia dan tiga lagi adiknya tidak kisah menyambut Aidilfitri tanpa memakai baju raya ataupun kasut baru seperti yang dinikmati remaja seusianya.
''Kami empat beradik akan pakai baju raya dan baju Melayu yang ayah beli tahun lalu. Masih elok dan boleh dipakai dan kami tak kisah sangat.
''Saya sedar kehidupan kami sekeluarga tidak mewah seperti orang lain. Pendapatan ayah dan emak sekadar cukup-cukup makan, cukuplah buat yang sederhana," katanya ketika ditemui pada Program Jom Sahur di Kampung Parit Putat, Sg. Rambai di sini malam tadi.
Program itu adalah anjuran Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan DUN (Japerun) Sungai Rambai diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Hasan Rahman.
Pada lawatan yang disertai kira-kira 40 penduduk kampung termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kelab Sukarelawan Sahabat Belia Melaka turut menyumbang barangan keperluan harian dan duit raya.
Fauzan yang menuntut di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai berkata, ibu dan ayahnya hanya akan membeli langsir baru dan membuat kuih raya.
Katanya, walaupun tidak ada persiapan rapi seperti yang dilakukan oleh keluarga lain tetapi mereka sekeluarga tetap gembira menyambut Aidilfitri nanti.
''Sambutan ini seperti juga tahun lalu tidak ada yang lebih dan tidak ada yang kurang. Jika ada pihak hulur sumbangan kami menerima dengan tangan terbuka," katanya.
No comments:
Post a Comment