Tuesday, August 24, 2010

Berbulan lamanya untuk bentuk kerajaan Australia


SYDNEY 23 Ogos - Para pemimpin politik Australia mungkin mengambil tempoh berbulan-bulan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya kelmarin menghasilkan Parlimen tergantung.
Namun terdapat kemungkinan lebih besar mereka dapat berbuat demikian dalam masa beberapa minggu lagi, kata pakar politik hari ini.
Australia kini diperintah oleh kerajaan sementara selepas Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Julia Gillard dan perikatan pembangkang Liberal/Kebangsaan yang diketuai Tony Abbott gagal memenangi majoriti yang jelas untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Ketika dua parti utama itu berunding dengan calon-calon bebas dan seorang calon Parti Green yang bakal memegang imbangan kuasa di Parlimen, pakar menjangka tempoh sehingga tiga bulan diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Profesor Donald Rothwell daripada Kolej Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Australia (ANU) berkata, Parlimen mesti bersidang dalam masa 30 hari selepas suruhanjaya pilihan raya mengesahkan nama setiap calon yang memenangi kerusi tetapi suruhanjaya mempunyai tempoh sehingga 27 Oktober untuk melakukannya.
"Ini akan membolehkan Gillard menjadualkan sidang Dewan Perwakilan selewat 26 November, dengan itu memberi masa sehingga tiga bulan untuk persetujuan dicapai dengan calon-calon bebas," katanya.
Sehingga persetujuan dicapai, Gillard boleh meneruskan khidmat sebagai Perdana Menteri sementara.
Bagaimanapun Dekan Kolej Undang-Undang ANU, Profesor Michael Coper berkata, besar kemungkinan Gillard atau Abbott akan dapat memperoleh cukup sokongan di Parlimen untuk membentuk sebuah kerajaan sebelum tempoh itu.
"Ahli politik sentiasa sensitif terhadap imej mereka di mata rakyat dan kita tidak mahu menambahkan lagi rasa kecewa dengan proses politik (dengan berlengah-lengah)," katan Coper.
Seorang lagi tokoh akademik ANU, Profesor Ian McAllister bersetuju dengan pandangan itu.
"Disebabkan perkara ini membawa kesan penting ke atas pasaran, saya fikir mereka perlu mencapai penyelesaian dalam masa seminggu dua lagi," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment