Tuesday, August 24, 2010

14 laluan maut


Oleh Suzianah Jiffar

2010/08/23

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah mengenal pasti 14 laluan maut di seluruh negeri yang bakal diberi tumpuan dalam rondaan mencegah kemalangan jalan raya sempena musim perayaan mulai 27 Ogos hingga 25 September ini.

Daripada jumlah itu, tiga laluan adalah di daerah ini, iaitu Kilometer (KM) 0-15 Jalan Lintas-Tuaran, KM8-KM20 Jalan Kota Kinabalu-Papar dan KM9-KM22 Jalan Lintas- Kepayan.Laluan lain ialah KM12-KM52 Jalan Labuk di Sandakan; KM1-KM24 Jalan Apas (Tawau); KM2-KM12 Jalan Keningau-Tambunan (Keningau); KM1-KM21 Jalan Beaufourt-Papar (Beaufort); KM1-KM10 Jalan Kudat-Tamalang (Kudat) dan KM28 Jalan Lahad Datu-Sandakan (Lahad Datu).KM1-KM15 Jalan Papar Beaufort (Kimanis); KM20-KM40 Jalan Semporna-Kunak (Silam); KM1-KM44 Jalan Tuaran-Kota Belud-Ranau (Telipok); KM40-KM65 Jalan Beluran-Telupid (Telupid) dan KM28 Jalan Lahad Datu-Sandakan (Segama).

Pengarah JPJ negeri, Mohd Shuhaili Mohd Taufek, berkata rondaan itu akan diadakan selama 16 jam dan ia adalah sebahagian daripada kaedah baru penguatkuasaan undang-undang JPJ Sabah tahun ini.

"Kami akan menempatkan pegawai dan anggota untuk melakukan rondaan setiap masa. Ini adalah antara jalan yang kerap berlaku kemalangan, termasuk membabitkan kematian.

"Kami berharap pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan itu," katanya pada dalam sidang media selepas melancarkan Ops Sikap XXII musim Aidilfitri 2010 di Terminal Bas Utara, Inanam dekat sini, kelmarin. 
Mengenai operasi itu, beliau berkata penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dari 4 hingga 19 September ini.

"Seramai 273 anggota JPJ akan terbabit dalam Ops Sikap ini, termasuk dalam penguatkuasaan, rondaan dan penyamaran di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata, antara objektif Ops Sikap XXII adalah mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

"Kami juga akan mempertingkatkan keselamatan penumpang kenderaan awam, pematuhan undang-undang jalan raya, memastikan kenderaan lebih muatan tidak berada di jalan raya, pemeriksaan bas ekspres di terminal dan pemantauan terhadap teksi dan kereta sewa," katanya.

Bagaimanapun, katanya, larangan kenderaan barangan menggunakan lebuh raya yang dikuatkuasakan di Semenanjung tidak dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak. 

No comments:

Post a Comment