Tuesday, August 24, 2010

Pemuda Umno kutuk tindakan penunjuk perasaan baling najis ke Kedutaan Malaysia di Jakarta

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penunjuk perasaan yang membaling najis ke perkarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan memijak Jalur Gemilang dalam satu demonstrasi di luar kedutaan itu, petang semalam.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun tindakan melampau itu dilakukan hanya segelintir pihak sahaja dan tidak mewakili pendirian rakyat Indonesia terhadap Malaysia secara keseluruhan, insiden berkenaan dianggap telah merendahkan kedaulatan negara dan satu perbuatan yang amat jijik.
Justeru, beliau menggesa kerajaan Indonesia meningkatkan tahap keselamatan di Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi mengelakkan perkara itu berulang.

Beliau juga menyeru pihak media Indonesia yang dipercayai turut terbabit dalam mengapikan-apikan hubungan baik antara kedua-dua negara supaya melaporkan berita dengan lebih berhemah bagi menjaga keharmonian hubungan dua hala.

"Saya juga telah mengarahkan Biro Antarabangsa Pemuda Umno untuk menghantar satu memo bantahan kepada kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur bagi menyampaikan mesej protes dan bantahan kami kepada kerajaan Indonesia berhubung kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, penunjuk-penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) dipercayai telah melemparkan najis manusia ke dalam perkarangan kedutaan itu.

Mereka dipercayai bertindak sedemikian bagi menandakan kemarahan mereka terhadap Malaysia yang mereka dakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu apabila polis Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia.

-Bernama

No comments:

Post a Comment