Tuesday, August 24, 2010

Diami pondok buruk bersama 9 anak


BATU PAHAT 23 Ogos - Ujian paling getir dalam bulan Ramadan.
Itu yang dihadapi seorang suri rumah Salidah Selamat, 39, yang kematian anaknya, Shahidan Hashim, 12, dalam kemalangan ngeri apabila motosikal ditunggang mangsa berlanggar dengan lori, Khamis lalu.
Lebih menyedihkan, dia yang hidup dalam serba kedaifan berkemungkinan berdepan hukuman penjara jika didapati bersalah membenarkan anaknya yang tidak mempunyai lesen dan masih di bawah umur untuk menunggang motosikal.
Tinjauan Utusan Malaysia ke rumah ibu malang yang mempunyai sembilan anak termasuk Allahyarham itu mendapati, keadaan hidup wanita itu bersama lapan anak yang lain sungguh menyedihkan.
Wanita itu tinggal di dalam pondok kecil tanpa dinding, hanya bilik tidur yang sempit ditutup dengan kain, manakala di luar bilik itu, ada dapur kecil yang sangat daif untuk mereka sekeluarga.
Salidah memberitahu, dia, suami dan dua anaknya tidur di pondok buruk itu, manakala Allahyarham bersama adik yang lain tidur di rumah ayahnya yang terletak bersebelahan.
Ini kerana pondok kecil beratap zink itu tidak kukuh dan hanya menanti masa untuk rebah tidak dapat menampung kesemua ahli keluarganya.
"Bukan tak nak pindah semuanya ke rumah ayah. Tetapi anak saya ramai, malah di rumah ayah yang kecil pun sudah ada adik bersama keluarganya menumpang di situ," katanya ketika ditemui di Kampung Sri Desa, Ayer Hitam dekat sini, baru-baru ini.
Salidah berkata, pondok serba daif itu dibina oleh ayahnya dan mereka tinggal di situ kira-kira setahun lalu.
Lebih menyedihkan, suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya seorang anak perempuannya yang bekerja di kedai bunga dengan pendapatan bulanan RM300.
Dia mengakui keluarganya ada menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun sumbangan itu tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka.
Ditanya mengenai kemalangan yang meragut nyawa Shahidan yang lebih mesra dengan panggilan Mamat, Salidah berkata, memang dia tidak membenarkan mangsa menunggang motosikal walaupun sering dipujuk dan dipaksa oleh mangsa.
"Mak kedekut, tak bagi Mamat naik motor. Itu yang selalu dia cakap apabila saya tak bagi dia naik motosikal," katanya.
Bagaimanapun, pada hari kejadian dia tidak menyangka Allahyarham sanggup menunggang motosikal ke sekolah tanpa pengetahuannya.
Allahyarham merupakan murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam dan bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.
Akhbar baru-baru ini melaporkan mangsa maut setelah berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 91 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Khamis lalu.
Ketua Trafik Daerah Kluang, Asisten Supritendan Razali Mohamed dilaporkan berkata, punca nahas itu masih dalam siasatan.
Beliau turut menyatakan, pemilik motosikal atau ibu bapa mangsa juga akan disiasat kerana membenarkan mangsa yang tidak mempunyai lesen dan berusia di bawah 16 tahun menunggang motosikal.
Siasatan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment