Tuesday, August 24, 2010

Pesawah kecewa potongan tinggi


Sebahagian petani berbincang mengenai pemotongan berat padi yang tinggi mencecah 30 kilogram bagi setiap 100 kilogram di Bukit Raya, Pendang, Kedah, semalam.


PENDANG 23 Ogos – Pesawah di sekitar Bukit Raya di sini kecewa apabila mendapati hasil padi yang dijual kepada Syarikat Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) pada musim ini dikenakan potongan yang tinggi sehingga menjejaskan mata pencarian mereka.
Mereka yang ditemui hari ini mendakwa, kilang Bernas di sini mengenakan potongan antara 25 hingga 30 kilogram minimum bagi setiap 100 kilogram padi yang dihantar ke situ.
Menurut mereka, potongan itu jauh lebih tinggi daripada dikenakan kilang padi milik swasta di kawasan berkenaan iaitu sebanyak 17 kilogram sahaja.
Seorang petani, Abdullah Shamsudin, 47, berkata, sebagai seorang pelanggan setia Bernas, dia kesal dengan keadaan itu terutama apabila dibandingkan dengan kadar potongan kilang padi swasta yang lebih rendah.
Menurutnya, sesetengah kawasan sawah padi berhampiran Bukit Raya telah pun dituai sejak beberapa minggu lalu manakala lain-lain sawah pula dijangka dalam tempoh terdekat.
“Bernas perlu mengambil kira nasib petani, lebih-lebih lagi yang setia menghantar hasil padi mereka ke situ pada setiap musim.
“Syarikat itu perlu mengkaji semula potongan yang dikenakan ke atas hasil padi petani kerana nampak benar perbezaan dengan potongan yang dikenakan oleh kilang swasta,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam perbincangan antara wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA); pengilang-pengilang beras bumiputera dan swasta di seluruh Kedah; Syarikat Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) dan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara pada 9 Ogos lalu, harga padi bagi musim ini ditetapkan pada kadar RM1,050 satu tan metrik.
Seorang lagi petani, Omar Abdullah, 70, berkata, masalah potongan terlalu tinggi menekan petani di sini memandangkan kebanyakan mereka mengusahakan padi secara kecil dan pendapatannya tidak seberapa.
Katanya, petani terpaksa menampung kos pengeluaran seperti racun yang semakin meningkat dan kenaikan kos sara hidup.
“Dalam keadaan kos untuk mengusahakan bendang yang semakin meningkat, keadaan ini pula yang berlaku. Fikirkanlah mengenai nasib kami,” katanya.
Rakannya, Mohd. Rodzi Ishak, 47, pula meminta kerajaan campur tangan menyelesaikan masalah potongan tersebut kerana ia menyebabkan kehidupan petani semakin terhimpit.
Dia juga memohon kerajaan mengembalikan sistem pengagihan benih padi kepada Jabatan Pertanian kerana mendakwa benih yang dikeluarkan jabatan itu lebih bermutu.

No comments:

Post a Comment