Tuesday, August 24, 2010

Imam Mesir cetus kelainan


KOTA BHARU 23 Ogos - Kehadiran Ramadan adalah saat yang ditunggu seluruh umat Islam dengan pelbagai pihak berlumba-lumba menghidupkannya dengan sesuatu yang lebih istimewa berbanding bulan-bulan lain.
Antaranya adalah kehadiran imam-imam dari negara Arab yang dijemput memimpin solat tarawih selama sebulan dan ia kini menjadi sesuatu yang semakin lumrah di masjid seluruh negara.
Kelantan tidak ketinggalan mengikut langkah serupa apabila program Qaryah Ramadan anjuran kerajaan negeri bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) turut menjemput imam-imam dari Mesir sejak 2008 lagi.
Salah seorang daripada mereka, Syeikh Ahmad Rejab, 58, berkata, tahun ini merupakan kali ketiga beliau jadi imam solat tarawih dan qiamullail di khemah di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini.
Beliau yang berasal dari daerah Fayyum, Mesir, dipilih oleh kerajaan negeri setelah melalui sesi saringan yang dilakukan dengan kerjasama Pengerusi Gabungan Qari-qari Mesir, Dr. Isa Miksarawi, tokoh ternama negara itu dalam bidang tilawah al-Quran.
Syeikh Ahmad yang merantau ke seluruh pelosok dunia termasuk negara-negara di benua Afrika dan Amerika setiap kali Ramadan sejak 15 tahun lalu menjelaskan, masyarakat Islam di Eropah sebenarnya menawarkan ganjaran yang lebih tinggi untuk beliau memenuhi jemputan.
Bagaimanapun, tanpa menyatakan jumlah yang diterimanya, imbuhan wang bukan menjadi kriteria utama beliau apabila mendapat tawaran dan kebelakangan ini hatinya lebih 'terikat' dengan Malaysia sejak kali pertama menjejaki negara ini.
"Di negeri ini, hati saya merasa lebih tenang dan jiwa lebih tenteram kerana keadaan masyarakat yang majoriti Islam dan tidak ada langsung tempat hiburan secara terbuka.
"Ini berlainan jika saya ke United Kingdom atau Amerika Syarikat misalnya kerana suasana maksiat menguasai kehidupan masyarakat," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sesi pertemuan itu dibantu oleh Penolong Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Pembangunan Masyarakat, MPKB-BRI, Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa selaku salah seorang pegawai pengiring yang ditugaskan berada di samping 'imam import' sepanjang mereka di sini.
Jika dua tahun lalu dia ditemani seorang lagi qari Mesir, Syeikh Abdul Rahman Mu'nis, pada tahun ini, Syeikh Ahmad turut membawa bakat baru dari negaranya, Syeikh Ahmad Ramadhan, 48.
Mereka berdua ditempatkan di hotel penginapan berdekatan dengan lokasi Qaryah Ramadan untuk memudahkan pergerakan.
"Kami berdua bergilir-gilir menjadi imam bermula dari solat maghrib hinggalah kepada program qiamullail pada jam 3.00 pagi setiap hari di khemah itu.
"Tidak ada perasaan gentar sedikitpun pada hati kami apabila berjalan dalam kegelapan pagi kerana kami yakin dengan keselamatan dan keamanan tempat ini seolah-olah berada di kampung halaman sendiri.
"Selain tugas wajib di Qaryah Ramadan, kami memenuhi ruang masa dengan menghadiri program contohnya di masjid seluruh negeri untuk memperdengarkan bacaan al-Quran dan juga melakukan 'tahsin' atau pembetulan kepada bacaan masyarakat setempat," katanya.
Kedua-duanya datang ke Kelantan seminggu sebelum Ramadan bermula untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan orang-orang di sekeliling.
Syeikh Ahmad memberitahu, beliau menjadi hafiz pada usia 20 tahun selepas tamat peringkat diploma dalam bidang industri dan meneruskan pengajian dalam bidang qiraat atau pengajian al-Quran di Institut Qiraat Fayyum dan kini merupakan salah seorang tenaga pengajar di situ.
Menurutnya, sehingga hari ini beliau telah membaca lebih 16,000 judul buku pelbagai jurusan ilmu untuk melengkapkan dirinya sebagai seorang pendakwah.
Ramadan sebenarnya mencatat sejarah tersendiri buat Syeikh Ahmad yang pada usia 21 tahun pernah menjadi sebahagian daripada anggota tentera negaranya dalam perang Mesir-Israel pada Oktober 1973.
Katanya, perang yang bermula pada 10 Ramadan itu adalah untuk membebaskan wilayah Mesir iaitu Semenanjung Sinai yang telah diceroboh oleh Israel dan beliau bersyukur kerana hasil daripada jiwa yang terdidik dengan al-Quran telah menyemarakkan semangat jihad dalam dirinya sepanjang peperangan berlangsung ketika itu.

No comments:

Post a Comment