Thursday, August 11, 2011

Berpantang maut sebelum ajal



SUBANG JAYA – Berpantang maut sebelum ajal! Begitulah nasib seorang pemandu wanita kerana masih terselamat apabila kenderaan dipandunya merempuh konkrit pembahagi jalan sebelum terbalik di Persiaran Tujuan menuju ke Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa dipercayai gagal mengawal pemanduannya di selekoh dari arah Lebuhraya Persekutuan sebelum merempuh penghalang yang memisahkan laluan dengan jalan bersebelahan.

Akibat daripada itu, kereta mangsa dikatakan terbabas sebelum berpusing dan terbalik di tengah laluan bersebelahan menyebabkan kesesakan berlaku lebih satu kilometer selepas itu.

Sumber polis berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku ketika hujan lebat, petang semalam.

“Pemandu kenderaan yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta, Nabila Abdul Wahab, 24, memaklumkan keadaan jalan licin ketika hujan menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas ke laluan bersebelahan.

“Bagaimanapun dia dan rakannya yang berada di tempat duduk penumpang bahagian depan terselamat dengan merangkak keluar daripada kereta selepas ia terbalik,” katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya selepas kejadian.-SH

No comments:

Post a Comment