JOHOR BAHRU – Gara-gara terlalu ghairah untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik melalui peraduan gores dan menang, seorang tukang cuci warganegara Singapura kerugian lebih RM20,000 apabila emas yang disimpan lebih 30 tahun digadai selepas diperdaya dua lelaki.
How Siew Choo, 52, berkata, kejadian berlaku selepas dia didatangi dua lelaki di sebuah jejantas JB Sentral yang kemudian memintanya membuat cabutan percuma menerusi sampul surat.
“Saya diminta membayar SG$6,000 oleh wakil jualan itu untuk melihat hadiah yang saya menangi ketika cabutan dibuat, namun ketika itu saya tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar mengikut jumlah yang diminta.
“Saya kemudiannya ditawarkan oleh wakil jualan terbabit untuk membawa saya pulang ke Singapura dan mengambil wang berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar yang diatur oleh Biro Pengaduan Awam Pemuda MCA Johor Bahru di sini, semalam.
Siew Choo berkata, setelah tiba di Singapura, dalam keadaan ghairah untuk memenangi hadiah pada ketika itu, dia kemudian menggadai lapan barang kemas miliknya berjumlah lebih RM20,000.
Menurutnya, dia kemudian dibawa wakil jualan terbabit ke Taman Molek untuk proses pembayaran namun menyedari ditipu setalah diberitahu dia hanya memenangi empat barang elektrik yang berharga RM1,000.
Berikutan kejadian itu, Siew Choo yang berasal dari Ang Mo Kio Avenue, membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi.
Ketua Biro Pengaduan Awam Pemuda MCA Johor Baharu Kua Song Tuck meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap anggota sindiket gores dan menang berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNKK) negeri, Che Halim Abd. Rahman berkata, pihaknya akan sentiasa memantau kegiatan sindiket gores dan menang.
“Orang ramai juga diminta agar lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan janji manis yang diberikan sindiket terbabit,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai sindiket tersebut supaya menghubungi PPDNKK di talian hotline 1800-88-6800.-SH
No comments:
Post a Comment