Thursday, August 11, 2011

Liong Sik tak tahu urus beli tanah PKFZ

Semua perkara diputuskan Lembaga Pelabuhan Klang 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik tidak mempunyai pengetahuan mengenai urusan pembelian tanah di Pulau Indah, Klang bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), sebaliknya semua perkara termasuk surat menyurat mengenai diputuskan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan), Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata sebagai menteri, Liong Sik akan bertindak mengikut nasihatnya atau pegawai terbabit dalam projek itu serta tidak pernah menolak pandangan dan keputusan mereka.
Menjawab soalan peguam Liong Sik, Wong Kian Keong ketika sesi pemeriksaan balas, terma pembiayaan tanah untuk projek itu adalah berdasarkan kepada penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan tertuduh turut merujuk kepada dokumen disediakan, saksi itu bersetuju. 

Beliau turut memaklumkan sepanjang perkhidmatannya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) di Kementerian Pengangkutan, tiada sebarang nota diberikan berhubung urusan perjanjian jual beli tanah antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan LPK yang tidak mengikut penilaian JPPH. 

Malah, katanya, dalam minit mesyuarat pada 15 November 2002 juga dimaklumkan tiada bantahan dikemukakan daripada wakil Kementerian Kewangan berhubung perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK yang tidak mengikut penilaian JPPH. 

"Wakil Kementerian Kewangan (yang menghadiri mesyuarat) tidak bantah," katanya. 
Beliau berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dalam perbicaraan kes terhadap Liong Sik yang dituduh menipu dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ mengikut terma yang dipersetujui antara KDSB dan LPK. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat Empat, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya dan didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

Saksi pendakwaan keempat itu turut memberitahu, beliau tidak pernah memberi apa-apa memo kepada Liong Sik bagi membetulkan terma persetujuan bersama KDSB yang memasukkan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus. 

Katanya, Kementerian Kewangan sedia maklum mengenai kadar faedah 7.5 peratus itu dan tahu mengenai keputusan membeli tanah seluas 400 hektar dan bukannya pengambilan balik tanah seperti diputuskan dalam mesyuarat LPK bertarikh 24 Januari 2002. 

Abdul Rahman berkata, berdasarkan minit mesyuarat LPK itu, keputusan pembelian tanah dibuat sebagai alternatif kerana projek berkenaan mengambil masa lama iaitu hampir tiga tahun sejak keputusan Jemaah Menteri, selain tiada perkembangan pendekatan pengambilan tanah oleh kerajaan. 

Saksi itu berkata, hasil kajian LPK dengan Jebel Ali Free Zone International (JAFZI) juga mendapati masa adalah kritikal untuk menjayakan projek PKFZ. 

Perbicaraan bersambung hari ini. 

No comments:

Post a Comment